Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, August 25, 2009

PAS dijangka menang tetapi berapa majoritinya? - Harakah

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos - 20,290 pengundi Permatang Pasir keluar mengundi hari ini. PAS dijangka akan mengekal kerusi ini namun persoalannya adalah jumlah majoritinya.

Para peramal mula membuat ramalan sejak semalam tentang jumlah majoriti yang bakal dimenangi oleh calon PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Jumlah yang paling rendah adalah PAS akan menang dengan 2,500 undi majoriti. Paling tinggi diberikan adalah 3,500 undi majoriti.

Namun begitu ada juga pihak yang meramalkan PAS mampu menambahkan majoriti yang diperolehinya berbanding pilihan raya umum tahun lepas. Ini berdasarkan masalah calon BN, Rohaizat Othman yang paling ketara sejak siri pilihan raya kecil diadakan selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Di pihak BN pula, harapan untuk menang tidak ada langsung kepada mereka. Apa yang ditumpukan kini adalah mengurang majoriti kemenangan calon PAS.

Antara senjata utama yang dikira berkesan adalah penempatan anak-anak angkat di rumah-rumah bekas penyokong Umno yang didapati telah lari menyokong Pakatan Rakyat khasnya Datuk Seri Anwar dalam pilihan raya umum dan kecil sebelum ini.

Pelbagai jenis bantuan diberikan kepada mana-mana pengundi yang sedia menerima anak angkat dari kalangan Puteri Umno ini. Antaranya pembinaan tandas baru serta menukar bumbung rumah.

Masalah besar kepada BN adalah calon mereka Rohaizat Othman yang tidak diterima oleh cawangan-cawangan Umno sendiri. Hanya tujuh dari kira-kira 30 cawangan Umno di Permatang Pasir menerima Rohaizat sebagai calon. Selebihnya menolak.

Pendedahan demi pendedahan tentang peribadi Rohaizat menyukarkan jentera BN untuk membuat promosi terhadap beliau. Yang terbesar adalah isu tindakan Majlis Peguam menarik balik lesen guaman beliau akibat pecah amanah dan masalah isteri kedua beliau yang ditinggalkan.

Namun pertemuan hampir empat jam antara Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Ahad lepas menimbulkan pelbagai spekulasi.

Kedua-duanya dilihat bertemu dan berbincang di sebuah kelab dekat Sunwaycity, Seberang Jaya, mulai jam 5 petang hingga jam 9 malam. Ramai wartawan yang menginap di sini.

Dalam pilihan raya 2008, Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman (PAS) mengalahkan calon Umno Ahmad Sahar Shuib dengan 5433 undi majoriti.

Sebanyak 39 saluran mengundi di lapan pusat pengundian pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir mula dibuka pukul 8 pagi tadi.

Lapan pusat mengundi itu ialah di SJKC Lay Keow Permatang Pauh, SMK Sama Gagah, SK Permatang Pauh, SK Permatang Pasir, SK Bukit Indra Muda, SJKC Kubang Semang, SK Seri Penanti dan Sek Rendah Islam Al-Masriyah.

Seramai 20,290 pemilih berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat yang baru setelah penyandangnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 63 daripada Pas meninggal dunia kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Berikutan kekosongan kerusi itu, Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calonnya manakala PAS diwakili Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Bagaimanapun, kedua-dua calon itu tidak mengundi di kawasan Permatang Pasir.

Daripada jumlah itu, 72.36 peratus adalah pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain keturunan.

Harakah

No comments: