Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, August 21, 2009

K'jaan 'terus hina' bahasa Melayu: Samad - Malaysiakini

Datuk A Samad Said menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di semua peringkat sehingga tahun 2017 sebagai "penghinaan berterusan" terhadap bahasa kebangsaan.

"Ia menunjukkan ketidaksungguhan kerajaan (memartabatkan bahasa Melayu), yang mahu menenangkan (kemarahan ramai) di ketika-ketika tertentu.

"Bahasa Melayu itu diperhina terus," kata sasterawan negara itu kepada Malaysiakini.

Lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) diminta mengulas penjelasan terbaru Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berhubung pemansuhan dasar itu kelmarin.

Selepas sebulan pengumuman pemansuhan dasar itu pada awal Julai, keputusan terbaru "mekanisme pendaratan lembut" ini diluluskan oleh kabinet 5 Ogos lalu, kata Alimuddin dalam sidang media khas menjelaskan perkara itu.

Beliau menjelaskan, di peringkat UPSR, sains dan matematik akan terus diajar dalam dwi-bahasa sehingga 2016, PMR sehingga 2013 dan SPM sehingga 2015.

Beliau juga memberikan amaran mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar dua matapelajaran itu sepenuhnya dalam bahasa Malaysia sebelum 2012.

Dengan pendekatan terbaru "pendaratan lembut" pemansuhan PPSMI, dasar itu diteruskan bagi murid-murid darjah satu tahun depan dan 2011 sehingga kedua-dua kumpulan ini tamat darjah enam pada 2015 dan 2016 (lihat carta).

Malam ini, A Samad dan beberapa exco GMP dijadual berkempen di pentas PAS pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bagi mendesak pemansuhan segera dasar kontroversi itu.

Malaysiakini

No comments: