Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, August 24, 2009

Exco Kedah: PKR minta MB gugurkan ADUN Lunas - mStar

SEBERANG PRAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah meminta Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Muhammad Radzhi Salleh, yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi, daripada jawatan Exco Kerajaan Negeri.

Menteri Besar dijangka menghadap Sultan Kedah pukul 3 petang esok.

Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya telah meminta Radzhi digugurkan dan digantikan dengan wakil lain.Ia juga disahkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas majlis berbuka puasa di Kg. Paya, Permatang Pasir dekat sini.

Difahamkan kepimpinan pusat PKR telah mengadakan mesyuarat tergempar pagi tadi bagi membincangkan isu Radzhi.

"Kami sudah minta Menteri Besar gugurkan ADUN Lunas daripada jawatan Exco," kata Ahmad lewat petang semasa dihubungi di Alor Setar.

Ahmad menambah, penelitian pihaknya mendapati Radzhi mempunyai beberapa masalah peribadi dan kepimpinan serta keputusannya memang sudah dijangkakan.

Malah katanya, Radzhi telah mula mencondong ke arah Umno dengan telah berusaha untuk memujuk lima ADUN PKR yang lain agar menyertai Barisan Nasional (BN).

Kata Ahmad, beliau telah mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Khabar angin Radzhi hendak melompat telah lama kedengaran tetapi "mengapa beliau pilih hari ini untuk keluar parti," katanya.

Hari ini merupakan hari kedua terakhir kempen pilihan raya kecil kerusi Permatang Pasir. Pengundian pada Selasa ini.

Kata Ahmad, PKR akan meminta Radzhi meletak jawatan sebagai ADUN Lunas kerana beliau menang bertanding atas tiket PKR.

MASALAH

Anwar pula menjelaskan, pihaknya berhadapan dengan masalah membabitkan Radzhi sejak beberapa bulan yang lalu.

"Kami mempunyai maklumat bahawa sejak beberapa bulan lalu beliau telah mengadakan perbincangan dengan Mahadzir dan saya telah membawa isu ini ke Parlimen mengenai usaha membeli wakil rakyat kali," katanya.

Tambah Anwar, Radzhi juga telah diberikan amaran bulan dan pada minggu lalu Badan Perhubungan PKR Kedah telah menggantung Bahagian Padang Serai yang merangkumi Lunas.

"Oleh itu Ahmad berpendapat adalah lebih baik beliau meletakkan jawatan," katanya.

Pagi tadi Radzhi telah mengumumkan keputusan keluar parti mulai hari ini untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

JAWATAN EXCO

Bagaimanapun, beliau tidak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri.

Radzhi juga mendakwa seramai 200 anggota PKR Padang Serai turut keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinannya setelah perjuangan parti itu kini tidak seiring dengan matlamat asal penubuhannya.

Kedah mempunyai lima ADUN dari PKR dan tiga daripadanya termasuk Radzhi dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

PAS mempunyai 16 ADUN dan tujuh daripadanya dilantik sebagai Exco Kerajaan negeri. BN pula mempunyai 14 ADUN manakala DAP hanya mempunyai seorang ADUN.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Menteri Besar akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah esok untuk memaklumkan permintaan PKR supaya Radzhi digugurkan daripada jawatan Exco.

"Atas kuasa Tuanku untuk melantik dan juga menggugurkan mana-mana Exco. Saya akan sembahkan permintaan daripada PKR supaya dia digugurkan. Kerusi itu kekal kuota PKR kecuali PKR kata berilah pada sesiapa sahaja," kata Azizan.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Ahmad di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Azizan berkata, parti pakatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakan Radzhi termasuk pilihan raya kecil.

Radzhi, yang dilantik memegang portfolio Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia selepas memenangi pilihan raya umum tahun lepas, mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil Bebas hari ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR.

mStar

No comments: