Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, October 20, 2008

Insiden Kampung Plentong Tengah Bukti Umno Pengkhianat Melayu - Shamsul Iskandar

Johor Bahru, 16 Oktober - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menggesa supaya Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab sepenuhnya untuk memberi penjelasan segera mengenai insiden perobohan kawasan perumahan penduduk Kampung Plentong Tengah, Johor hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, AMK begitu kesal dengan kebaculan polis yang sanggup mengerah tenaga sehingga mengancam nyawa warga Kampung Plentong Tengah sehingga mengakibatkan 27 individu ditahan dan beberapa individu termasuklah ketua dan imam kampung cedera dan dikejarkan ke hospital.

“Kebiadapan anggota polis dan samseng upahan mengasari warga emas, wanita dan anak kecil yang berhimpun mempertahankan hak mereka adalah sesuatu yang di luar perikemanusiaan,” tegas Shamsul yang turut berada di tempat kejadian.

Polis dan juga FRU dengan kekuatan seramai 500 anggota bertindak nekad merempuh benteng manusia yang dibentuk di kalangan warga kampung dengan bantuan AMK serta Pemuda Pakatan Rakyat.

Pimpinan AMK khususnya AMK Johor bersama-sama Pemuda Pakatan Rakyat telah berkampung di Kampung Plentong Tengah sejak 15 Oktober lagi sebagai sokongan moral untuk mengelakkan Kampung Plentong Tengah dirobohkan oleh pihak pemaju.

Apa yang lebih menyedihkan, menurut Shamsul, ialah ketiadaan hatta seorang pun pimpinan Umno termasuklah ADUN dan Ahli Parlimen yang selama ini begitu hebat melaungkan slogan ‘Ketuanan Melayu’ dan menobatkan Johor sebagai kubu kuat Umno.

“AMK kesal kerana dalam masa yang sama Menteri Besar Johor sedang menjamu para Exco dan ADUN Umno-BN tanpa mempedulikan nasib warga kampung yang tertindas teruk di sini.

Jika inilah sikap bacul yang ditunjukkan oleh pimpinan Umno-BN, jelas terbukti bahawa mereka pengkhianat Melayu yang sebenar,” tegas Shamsul.

————————–

Kronologi Kg Baru Plentong

1985 - Penduduk meneroka tanah. Pejabat Tanah memaklumkan bahawa tanah tersebut tiada pemilik.

1986 - KBPT terbentuk. Penduduk memohon hak milik tanah. Pejabat Tanah kata tanah dimiliki Syarikat Mosbert.

1987 - Tanah ditukar tangan kepada Jet Ace Co. dan seterusnya kepada Oakfield.

1989 - Penduduk kalah kepada Oakfield di Mahkamah Tinggi JB dengan perintah milikan kosong.

1990 - Dalam usaha mendapatkan ehsan DYMM Sultan Johor, penduduk ditipu sebanyak RM 18,000.00 oleh ‘orang tengah’.

1991 - Atas cadangan wakil rakyat, penduduk membentuk tabung bertujuan membeli tanah daripada Oakfield.

1993 - Pembayaran pendahuluan penduduk dari wang tabung sebanyak RM 417,307.93 digelapkan oleh peguam.

1993 - Oakfield melakukan perobohan rumah. Atas suruhan wakil rakyat, penduduk melarikan diri ke dalam hutan. Selepas itu, penduduk membelanjakan RM 22,000.00 untuk membebaskan seorang penduduk yang tidak sempat lari dan ditahan oleh polis.

1993 - Atas cadangan peguam, penduduk menanggung kos menghantar wakil untuk memohon wang kebajikan atarabangsa di Filipina.

1993 - Penduduk menang kepada Oakfield di Mahkamah Rayuan KL dengan ketepikan perintah kommintal Mahkamah Tinggi JB.

1994 - Oakfield setuju menjual tanah kepada penduduk. Perundingan pembelian tanah dimula.

1994 - Penduduk ‘menghilangkan’ RM 820,000.00 kepada Oakfield melalui peguam J. Sing & Co.

1995 - TNB membekalkan elektrik ke KBPT.

1996 - Bukit Lenang Development Sdn. Bhd. ambil milik tanah KBPT. Pemaju menawarkan pampasan kepada penduduk yang berpindah. Penduduk tidak setuju kerana rasa nilai pampasan tidak setimpal.

1997 - Penduduk buat aduan polis terhadap Oakfield yang jualkan tanah sedangkan proses jual-beli dengan penduduk tengah diproses.

1997 - Bukit Lenang saman penduduk. Bukit Lenang menolak cadangan tuntutan ganti rugi penduduk.

1997 - Penduduk membuat kempen tandatangan dan hantar surat kepada MB Johor atas sokongan Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB).

1998 - Penduduk kalah di Mahkamah Tinggi JB dengan perintah milikan kosong tetapi terus merayu.

1999 - Kerajaan Johor mengurniakan tanah Kg. Bukit Dagang kepada penduduk.

2000 - Bukit Lenang menjalankan operasi pengusiran secara paksa. Penduduk turun sama-sama dan berjaya mempertahankan rumah.

2000 - Penduduk menang kes di Mahkamah Rayuan KL.

2002 - Penduduk kalah di Mahkamah Tinggi JB.

2007 - Penduduk kalah di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

2008 - Bukit Lenang mendapat notis perintah mahkamah.

2008 Oktober - Hakim telah memberi surat kepada peguam yang menyatakan beliau cuti dan akan memulakan sebutan kes pada 29 Oktober 2008.Bukit Lenang Development tidak menghirau surat daripada hakim dan menetapkan pengusiran secara paksa pada 16 Oktober 2008 dengan alasan ingin merobohkan rumah-rumah yang telah kosong.

2008 Oktober 16 - Penduduk Kg Baru Plentong Tengah mula berhinpun secara aman seawal 8 pagi. Pihak berkuasa telah membuat sekatan di jalan masuk utama kampong dan cuba berbincang dengan wakil penduduk. Peguam yang mewakili penduduk kampung tiba dan membantah perobohan rumah berlaku kerana sikap Bukit Lenang Development yang tidak menghormati perintah mahkamah supaya menunggu sehingga tarikh sebutan kes. Bailif Bukit Lenang Dev. Menyatakan yang beliau mendapat perintah daripada mahkamah tanpa notis bertulis untuk masuk ke kampung dan melaksanakan perobohan. Kekecohan berlaku dimana Pihak Berkuasa (FRU & PDRM) memaksa penduduk untuk bersurai. Penduduk enggan bersurai dan kekerasan telah digunakan oleh Pihak Berkuasa untuk menyuraikan penduduk. Pihak berkuasa masuk ke kampung untuk mengiringi jentera-jentera perobohan untuk melaksanakan perobohan rumah-rumah yang tidak berpenghuni lebih kurang 11.45 pagi.


Sumber: AMK Malaysia

No comments: