Ketika mengarang ini, Berita Harian sekitar jam 3:49 petang menyiarkan mengenai pemergian Shamsiah Fakeh, bekas Ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas). Laporan itu diambil daripada agensi berita Bernama. Di Utusan, rasanya belum tersiar lagi laporan ini ketika catatan ini ditulis.
Saya mendapat tahu pemergian Shamsiah Fakeh ini daripada cucu beliau, salah seorang aktivis pelajar. Isi kandungan sms itu: "Salam, nenek ana Shamsiah Fakeh meninggal sebentar tadi. Akan dikebumi di Jalan Kuchai Lama petang ini. Al-Fatihah."
Pemergian Shamsiah Fakeh mengheret ingatan kepada sebuah laporan di Harakah Daily berhubung pendapat Cikgu Ishak Surin mengenai kemerdekaan. Saya kata begini kerana, Awas begitu dekat dengan PKMM, sebuah parti Melayu pertama yang memperjuang idea kemerdekaan tulen dan menyatukan Melayu seluruh baka sebelum Umno.
Di Atas Runtuhan Kota Melaka
Kita Dirikan Jiwa Merdeka
Bersatulah Melayu Seluruh Baka
Membela Hak Keadilan Pusaka.
Dr. Burhanuddin al-Hulaimy, 1945
Ketika Umno tertubuh di Kelab Sultan Sulaiman di belakang rumah saya pada 1946, baru kedengaran ledakan suara Onn Jaafar dan lain-lainnya memekik tentang kesatuan Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan. Umno lewat setahun daripada pesaingnya. Mereka ambil masa setahun juga untuk meniru corak perjuangan PKMM itu.
Berbalik kepada KMM, PKMM dan Awas itu maka catatan mengenai peranan yang telah dimainkan Ibrahim Yaakob boleh ditemukan di laman http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16783&Itemid=59.
Syahadan, antara yang disebutkan oleh Cikgu Ishak Surin adalah:-
"Saya setuju dengan kajian yang dibukukan oleh Umno Johor. Buku itu dakwa orang yang mula mempelopori gerakan kemerdekaan tanahair ialah Ibrahim Yaakob. Berpusat gerakannya di Maktab Perguruan Idris, Tanjung Malim.
"Bagaimana kita lihat, dia membentuk jaringan dari sini hingga idea kemerdekaan bertaburan ke seluruh tanahair hingga ke Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ibrahim aktif menanamkan api kemerdekaan dalam kesatuan pelajar di Maktab.
"Dari sini, pelajar Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak yang tamat pengajian mereka, bawa balik idea dan perjuangan kemerdekaan ini. Jadi menyeluruh. Di sinilah mula bibit kemerdekaan tercetus. Fakta ini dinafikan oleh Umno yang cuba meletakkan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Bagi saya, Ibrahim Yaakoblah patut dinabatkan Bapa Kemerdekaan sebenar bukan Tunku yang tak tahu apa-apa."
Perhatikan lafaz kalimah yang ditebalkan itu. Pertamanya, Ibrahim Yaakob memusatkan pergerakan yang memperjuang kemerdekaan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Kini maktab itu diangkat sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Perkara kedua, cikgu Ishak menamakan golongan kesatuan pelajar sebagai bidan yang telah berusaha keras menyambut dan meguruskan kelahiran sebuah negara merdeka. Anak-anak kelahiran Upsi seharusnya berbangga dengan fakta sejarah ini.
Umno kembali menjadi penjajah?
Namun, kegembiraan ini tidak bertahan lama. Umno yang diharapkan memperjuang idea kemerdekaan itu berubah menjadi pengkhianat. Hj. Abdullah Pak Him mungkin telah pun melihat kejadian ini melalui pandangan kasyafnya.
Di dalam pertemuan antara Ahmad Badawi, Sardon yang terkenal dengan panas baran itu dan lain-lainnya, setelah Abdullah Pak Him memberi formula berhubung tarikh merdeka pada 31 Ogos 1957, sempat juga guru agama itu berwasiat lebih kurang:-
"Kalau dah jadi pemerintah nanti, jangan pula kita bersikap seperti penjajah!"
Untuk kesahihan ucapan dan dialog selengkapnya, sila tonton 1957 Hati Malaya.
Hal ini menunjukkan perbezaan antara Abdullah Pak Him itu terhadap cucunya, Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah Pak Him membekalkan tarikh dan angka 31. Akhirnya Malaya bebas dan merdeka tanpa sebarang pertumpahan darah.
Sedangkan cucunya memilih tarikh 13 untuk membubar Parlimen dengan harapan, Umno dan BN akan bebas daripada cengkaman dan libasan maut DSAI, Barisan Alternatif atau Barisan Rakyat yang kemudiannya dikenali sebagai Pakatan Rakyat itu.
Tidakkah Abdullah sedar bahawa angka 13 adalah angka terbalik bagi angka yang dipilih datuknya, 31? Jika angka 31 berada di hujung, membawa pengertian telah lengkap bulan, sempurna dan berakhir tempoh masa jajahan, angka 13 tentu bersalahan dengan maksud dan makna-makna yang baik pula.
Akibat salah percaturan, salah sangka dan salah angka, malang bagi sang cucu itu, impian ingin bebas akhirnya terbabas. Ini kerana beliau tidak menghayati pesanan datuknya yang berwasiat supaya jangan sesekali cucunya bersikap seperti penjajah selepas merdeka.
ISA adalah alat penjajah. Islam Hadhari tidak ternyata tidak membatalkan ISA. Auku itu, walaupun bukan terbentuk dalam waktu penjajahan, tapi ia tetap saudara kepada ISA dan digubal oleh manusia yang berwatak penjajah. Ini berlaku dalam zaman Islam Hadhari yang mungkin sudah tiba di penghujungnya menjelang Mac depan.
UPSI berentap
Dan sekarang, saya difahamkan Upsi akan berentap dalam pilihan raya kampus. Siapakah yang menang atau kalah, semua itu bergantung kepada keputusan langit yang menguasai hati pelajarnya. Adakah mereka mewarisi semangat Ibrahim Yaakob? Wallahu'alam.
Kalah menang bukan persoalan. Paling penting dan utama, atas urusan apa kita berjuang? Dan hal itulah yang menyaksikan pertembungan 12 calon pro pelajar melawan 25 calon Aspirasi di Upsi menjelang keesokan harinya, demikianlah saya difahamkan.
Daripada 21 buah kerusi yang disediakan, berlangsung sengketa sesama mereka sehingga pada fakulti-fakulti tertentu menyaksikan pertembung tiga penjuru. Peperangan selainnya tipu daya dan helah (al-Harbu Khud'ah), perang juga membabitkan angka-angka.
Daripada sumber-sumber yang masih mencari fakta dan data mentah, dikatakan pihak pro pelajar telah menang 1 kerusi dan mereka sasarkan 11 buah kerusi lagi untuk dimenangi untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat mahasiswa.
Tidaklah diketahui, bagaimana sikap dan apa pula pandangan arwah Ibrahim Yaakob dan rakan-rakannya kalau mereka dapat melihat kelibat pegawai HEP, KPT dan gelagat siswa menempuh PRK pada zaman yang serba canggih dengan sistem 'e-vote' dan lainnya.
Kepada arwah Shamsiah Fakeh yang telah gugur sebagai sebutir bintang di langit sejarah, awan putih yang terbentang tenang menaungi kita daripada bahang panas terik penjajahan di langit zaman, kita susuli dengan lafaz kalimat berkat lagi keramat; Al-Fatihah.
7:56 malam, 20 Syawal
Sekolah Pemikiran Kg Baru. _
Sumber: HarakahDaily
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment