Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, October 22, 2008

UPM: Farhana, Shafiqa boleh tinggal semula di kolej

Dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibuang kolej atas alasan "tinggal secara tidak sah" minggu lalu kini boleh kembali ke kolej itu "pada bila-bila masa" setelah isu itu dihebohkan ke luar kampus.

"Keputusan itu dibuat atas dasar prihatin (terhadap keadaan mereka) pada minggu peperiksaan," kata satu sumber di pejabat pentadbiran universiti itu.

Difahamkan keputusan terbaru itu, selepas seminggu pelajar-pelajar wanita itu menumpang di rumah rakan mereka di luar kampus, dicapai oleh UPM pagi ini.

Bagaimanapun, pada semester depan, Nor Farhana Farzieana Azmi (foto kiri) dan rakan senasibnya Nur Shafiqa Mohd Ali dikehendaki membuat permohonan semula untuk menginap di asrama.

"Boleh mohon, kolej kediaman banyak," kata sumber itu lagi.

Malaysiakini difahamkan, kenyataan rasmi daripada UPM berhubung nasib dua pelajar ini dijangka dikeluarkan lewat petang ini.

Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa (foto kanan), yang dibuang dari Kolej Tun Perak pada 15 Oktober, mendedahkan nasib yang mereka alami di bangunan Parlimen hari ini.

Di sidang media tengah hari tadi, mereka mendakwa banyak lagi mahasiswa yang mengalami nasib seumpama mereka tetapi tidak berani menyuarakannya.

Dua pelajar itu mencapai keputusan CGPA lebih 3.5 mata turut bergiat aktif dalam kegiatan berpersatuan tetapi tetap didakwa "tidak cukup merit" untuk layak mendapat kemudahan asrama.

Mereka yang menganggotai Kelab al-Biruni UPM, sebuah kumpulan eksklusif pelajar cemerlang universiti itu, kini sedang menghadapi peperiksaan akhir semester.

Dalam surat arahannya 14 Oktober lepas, UPM menyatakan kedua-duanya berada di kolej itu "secara tidak sah" dan "tanpa pengetahuan pihak pengurusan kolej".

Kedua-duanya menetap di kolej itu sejak awal semester ini setelah pengurusan kolej meluluskan permohonan mereka.

Pada asalnya, nama mereka tidak tersenarai sebagai penghuni kolej itu semasa pendaftaran semester ini, awal Julai lalu, walaupun dimaklumkan mendapat tempat seminggu sebelumnya.

Hasil perbincangan dengan pentadbiran kolej, Malaysiakini difahamkan, mereka akhirnya dibenarkan tinggal.

Namun, Jumaat dua minggu lepas, selepas menginap lebih tiga bulan di asrama berkenaan, pintu bilik mereka telah dikunci oleh pengurusan kolej tanpa sebarang notis rasmi.

Borang permohonan Mahasiswa Luar kampus (MLK) turut diselitkan bagi menyatakan mereka harus mencari kediaman di luar UPM.

Mereka bagaimanapun tidak mengisi borang itu kerana tidak berminat berbuat demikian.

Kedua-dua pelajar perempuan itu sekarang menumpang di rumah seorang rakan di Seri Serdang, taman perumahan bersebelahan kampus tersebut.

Sumber:
Malaysiakini

No comments: