Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, October 19, 2008

Aktivis Suaram ditahan ISA dibebas selepas 18 jam

PETALING JAYA: Aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cheng Lee Whee dibebaskan selepas hampir 18 jam ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, (ISA).

Dia dibebaskan kira-kira pukul 6 petang tadi di Balai Polis Johor Bahru.

Cheng ditahan mengikut Seksyen 28 kerana didakwa menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan perobohan rumah di Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru kira-kira pukul 10.45 malam semalam.

Pembebasan Cheng ini disahkan oleh Pengarah Suaram, Yap Swee Seng yang mengecam tindakan polis menggunakan ISA secara tidak berasas.

"Ini (penahanan) sangat tidak masuk akal, polis telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk menakut-nakutkan rakyat.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kami sebagai aktivis hak asasi cuba memperjuangkan hak penduduk di sini yang majoritinya adalah Melayu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun menurut Yap, Cheng dibebaskan dengan ikat jamin penjamin dan dia perlu kembali untuk melapor diri pada 1 November ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengutuk tindakan polis menggunakan ISA ke atas sukarelawan wanita tersebut.

"Tangkapan ini betul-betul tidak masuk akal.

"Dia seorang aktivis yang mempertahankan hak penduduk di kampung Melayu, tapi ditahan tanpa sebab yang munasabah," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak polis menggunakan akta yang diangggap kejam itu kerana aktivis berkenaan tidak langsung mengancam keselamatan negara.

"Apa ancamannya? Saya tak nampak langsung rasional menggunakan ISA terhadap Cheng.

"Sebab itulah kita mahu akta ini dimansuhkan bagi mengelak sebarang penyalahgunaan kuasa," katanya.

Semalam Cheng hadir di Balai Polis Seri Alam untuk memberikan keterangan berhubung laporan polisnya mengenai penangkapan 27 penduduk yang didakwa menghalang kerja-kerja merobohkan rumah dikawasan setinggan tersebut.

Dua jam kemudian pihak polis maklumkan Cheng ditahan ISA.

Sumber:
mSTAR

No comments: