Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, December 30, 2008

10 berita terbaik sepanjang 2008

Pelbagai perkara penting berlaku sepanjang tahun 2008 yang turut mewarnai kehidupan rakyat negara ini. Berikutan disajikan sepuluh berita terpenting sepanjang tahun ini.

Meruntuh benteng halangan

Semuanya bermula sebagai satu perjuangan kecil sekumpulan penduduk membantah tindakan syarikat konsesi lebuhraya untuk menutup jalan pintas ke kawasan mereka. Tetapi, ia akhirnya telah
mencetuskan 'pergelutan kuasa' di peringkat tertinggi yang berakhir dengan suatu berita gembira.

Mengimbas kembali ke tahun 2005 apabila para penduduk Bandar Mahkota Cheras bangun menentang tindakan syarikat konsesi lebuhraya di situ, Grand Saga Sdn Bhd menutup jalan pintas ke tempat mereka.

Syarikat konsesi itu telah membina benteng konkrit untuk menutup jalan pintas tersebut. Penduduk terpaksa mengambil laluan yang jauh dari rumah mereka, melalui kesesakan lalulintas serta terpaksa membayar tol di lebuhraya berkenaan.

Mereka menubuhkan jawatankuasa bertindak dan memfailkan saman terhadap syarikat konsesi berkenaan. Mereka mendapat sinar harapan apabila kerajaan Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Dokumen menunjukkan bahawa benteng tersebut terletak di atas tanah kerajaan negeri. Maka pegawainya telah mengarahkan supaya benteng itu dibuang. Penduduk merobohkan benteng itu pada 21 April, tetapi Grand Saga membina semula dua minggu kemudiannya, dengan diawasi oleh kira-kira 200 anggota polis.

Pergaduhan berlaku, dan yang paling teruk ialah pada 27 Mei, di mana lebih 10 orang cedera parah. Juruteknik Chang Jiun Haur mendakwa dia telah dipukul berulangkali oleh anggota polis.

Polis pula mendakwa, Chang melanggar seorang pegawai polis dengan keretanya, ketika hendak beredar dari tempat kejadian, dan menyiasatnya atas tuduhan percubaan membunuh. Bagaimanapun, dia kemudiannya didakwa atas tuduhan memandu secara berbahaya.

Campurtangan kerajaan negeri menyebabkan kerajaan pusat mengubah pendiriannya, yang sebelum ini dilihat lebih memihak kepada syarikat konsesi lebuhraya tersebut.

Ketika melawat kawasan terbabit, Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed mengumumkan bahawa jalan pintas itu akan dibuka sehinggalah mahkamah selesai mendengar saman yang difailkan oleh penduduk terbabit.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan siasatan awam terhadap tuduhan penggunaan "kekerasan yang keterlaluan" terhadap Chang. Laporan hasil siasatan itu belum diumumkan.

APA SETERUSNYA: Ia merupakan satu penantian yang mendebar di kalangan penduduk umumnya dan Chang khususnya.

Kes Altantuya masih menghantui semua orang

Siapakah yang terbabit dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu? Bukan penganalisa politik Abdul Razak Baginda, demikian menurut Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang membebaskannya pada 31 Oktober lalu, daripada tuduhan bersubahat, tanpa memanggilnya membela diri.

Pihak pendakwa tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, yang pertama dalam kes seumpama itu. Tetapi peguam Karpal Singh, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya, telah memfailkan permohonan semakan penghakiman.

Sementara itu, dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - diperintahkan membela diri terhadap tuduhan membunuh Altantuya.

Dua tahun selepas pembunuhan Altantuya pada 2006, kes tersebut telah menimbulkan pelbagai kejutan. Malah, ahli-ahli Parlimen pembangkang membawa perkara itu ke parlimen, tetapi gagal dalam
usaha mereka untuk membentangkan usul khas bagi membahaskan tuduhan-tuduhan yang timbul.

Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam mencetuskan sensasi dalam akuan bersumpahnya (SD) yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hubungan dengan Altantuya dan wanita Mongolia itu telah menuntut RM500,000 bayaran komisyen kerana membantu urusniaga pembelian kapal selam.

Pada hari berikutnya, Balasubramaniam telah menarik balik akuan bersumpah pertama itu, melalui akuan bersumpah keduanya. Najib telah menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan Altantuya
atau Balasubramaniam telah dipaksa untuk menarik balik akuan bersumpah pertamanya.

Sewaktu polis menjalankan siasatan terhadap dua akuan bersumpah tersebut, Balasubramaniam dan keluarganya telah "hilang" tetapi kemudiannya disahkan sedang berada di sebuah negara jiran.

Penulis blog Raja Petra Kamaruddin pula kemudiannya membuat pendedahan, mendakwa isteri Najib - Datin Seri Rosmah Mansor - berada di tempat kejadian bersama dua anggota tentera. Rosmah telah menafikannya dan dua anggota tentera itu telah menyaman Raja Petra atas tuduhan memfitnah.

Raja Petra juga mendakwa bahawa seorang peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah telah menghantar dan menerima SMS dengan Najib, untuk mendapatkan pembebasan Razak yang ketika itu ditahan reman.

Berikutan pembebasannya, Razak mempertahankan Najib dan Rosmah, dengan menyatakan bahawa mereka tidak terbabit dalam kes tersebut - dan isu berkenaan tiada kaitan dengan pembelian kapal selam Scorpene.

APA SETERUSNYA: Adalah menjadi harapan semua pihak untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku dalam kes pembunuhan tersebut.

Chua bangkit semula

Pada bulan Januari, karier politik naib presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek berakhir secara mendadak ekoran pendedahan klip video seks yang membabitkan beliau, yang dirakamkan secara rahsia.

Beliau mengakui sebagai "orang dalam video" tersebut, dan pada mulanya menyerahkan perkara itu kepada perdana menteri dan presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting, sambil menegaskan bahawa beliau merupakan mangsa konspirasi politik dari dalam parti itu sendiri.

Tetapi kurang daripada 24 jam kemudiannya, beliau mengumumkan secara tiba-tiba peletakan jawatannya dalam parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, dalam pemilihan parti 10 bulan kemudiannya, Dr Chua bangkit semula apabila beliau memenangi pertandingan bagi jawatan timbalan presiden MCA.

Beliau menewaskan setiausaha agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan dan naib presiden, Datuk Donald Lim pada 18 Oktober lalu. Beliau menang dengan majoriti 114 undi.

APA SETERUSNYA: Dr Chua bagaimanapun masih perlu berdepan dengan presiden baru MCA, Datuk Ong Tee Keat.

Bidang kehakiman

Tan Sri Zaki Azmi telah dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru. Namun peguam Karpal Singh mendesak beliau meletak jawatan ekoran laporan "pengakuan" Zaki pernah memberi rasuah sewaktu menjadi peguam. Zaki bagaimanapun menjelaskan kemudiannya bahawa beliau telah disalahpetik dalam satu laporan media tersebut.

Turut menjadi sasaran ialah keputusan kerajaan membayar sagu hati berjumlah lebih RM10 juta kepada enam bekas hakim - termasuk bekas Hakim Negara, Tun Salleh Abas - yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988.

Pada bulan Disember, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz menyifatkanya sebagai "langkah pertama ke arah pembaharuan kehakiman".

Dalam tahun ini juga, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sarawak, Ian Chin telah membuat pendedahan yang mengejutkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menjadi perdana menteri, telah mengugut hakim-hakim pada 1997 supaya membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan dan menghantar mereka ke kem pemulihan.

Ini telah mencetuskan perang mulut antara kedua mereka dan ianya berakhir apabila Chian memilih untuk bersara awal, mulai 1 Disember lalu.


Baca berita penuh

Sumber: Malaysiakini

No comments: