Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, December 12, 2008

Shah Rukh Khan lebih utama dari tokoh wanita Umno

DATO' Seri Mohd Ali Rustam masih dalam demam glamour, ekoran penganugerahan Darjah Dato' kepada artist Bollywood, Shah Rukh Khan baru-baru ini.

Dengan penuh kebanggaan, calon bagi jawatan Timbalan Presiden Umno ini mengesahkan akan menghantar sekumpulan pegawai ke Mumbai, India, Januari depan bagi meninjau kemudahan studio perfileman milik Shah Rukh Khan yang berjanji membantu penubuhan studio itu.

Mohd Ali memang dikenali kerana kreativitinya sebagai orang politik. Kerajinannya cukup luar biasa.

Jika dijemput, tiada majlis kahwin yang dia tidak sampai. Biarpun kedatangannya sesudah majlis perkahwinan selesai, namun Mohd Ali pasti akan muncul.

Begitu juga dengan sikapnya yang pemurah. Kalau ada kawan-kawan yang sakit, menderita atau meninggal dunia, biasanya jika mereka memberitahu Mohd Ali, pasti akan sampai segala bentuk bantuan dan pertolongan.

Bukan itu sahaja, sejak Mohd Ali menjadi Ketua Menteri Melaka, sikap pemurahnya juga menyebabkan ramai yang bukan orang Melaka, tidak ada jasa kepada Melaka, akan disokong untuk dianugerahkan gelaran Dato'. Malahan, ada yang menerima Dato' Wira, Dato' Seri dan JP.

Ini bukan rahsia dan semua orang mengetahuinya. Terutama orang politik dan tokoh perniagaan, jika disokong oleh orang politik, insyaAllah, orang yang disokong itu akan bergelar Dato' dalam masa yang singkat.

Begitu juga Shah Rukh Khan. Dia dianugerahkan gelaran Dato' kerana jasanya kepada Melaka. Malahan, kata Mohd Ali, kemungkinan Shah Rukh Khan akan menerbitkan filem terbaru, yang akan menyebut Melaka pada tajuk filem itu, walaupun belum ada pengesahan tetapi, begitulah janjinya.

Ini yang dikatakan kreativiti. Penganugerahan pula, bolehlah disebut inovasi. Bila kreativiti dicampur dengan inovasi, lebih kuat kedudukannya.

Malangnya, ketika Mohd Ali sibuk mencari seluruh orang politik dari seluruh Malaysia, khususnya dari kalangan ketua-ketua bahagian Umno, untuk disokong menerima anugerah Dato', dia terlupa, ada beberapa insan yang dia patut beri anugerah, walaupun orang itu sudah meninggal dunia.

Tahukah Mohd Ali, ketika dia sibuk menyenaraikan seorang demi seorang, ketua bahagian, timbalan dan naib ketua bahagian, selain dari ketua Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian untuk dianugerahkan Dato' kenapa dia tidak menyemak siapa Ketua Kaum Ibu Umno Melaka (Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Melaka) yang pertama, yang tidak pernah menerima apa-apa anugerah dari Kerajaan Negeri Melaka?

Apakah kerana Ketua Kaum Ibu Umno Negeri yang pertama itu, tidak dapat memberikan sebarang undi kepada Mohd Ali atau, memang menjadi dasar Kerajaan Negeri Melaka, orang yang sudah meninggal, tidak perlu dikenang dan tidak perlu diberikan sebarang penghargaan.

Tidak ada ruginya Mohd Ali mengarahkan pegawai-pegawainya menyemak sejarah Umno Melaka, siapakah Ketua Kaum Ibu pertama Negeri Melaka.

Namanya Asmah Alang dan orang ini pun sudah meninggal dunia dan tidak pernah menuntut apa-apa penghargaan daripada Umno Negeri Melaka, jauh sekali, kerajaan negeri.

Tahun ini, tahun yang cukup sibuk buat Mohd Ali. Tidak payahlah kerja menyemak nama Allahyarham Asmah ini dibuat kerana, masa yang ada sekitar empat bulan lagi adalah cukup baik jika digunakan untuk menyemak siapakah yang dapat memberikan undi mereka kepadanya, untuk dia menang jawatan Timbalan Presiden Umno.

Lawannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib pun bukan calang-calang orang.

Maka, persiapan Mohd Ali kenalah lebih hebat dari dua calon yang bejawatan di peringkat pusat, sedangkan Mohd Ali hanya seorang Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, yang hanya mempunyai enam bahagian.

Berbanding dengan Muhyiddin, walaupun tidak menjadi pengerusi kepada mana-mana badan perhubungan negeri, tetapi pengalamannya yang cukup lama dalam kerajaan Pusat dan negeri, membuatkan orang Umno lebih mengenalinya dari Mohd Ali dan Muhammad.

Muhammad pula adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, negeri yang mempunyai 22 bahagian dan dari segi sejarahnya, walaupun Muhammad baru sahaja menjadi Menteri Pusat tetapi, dia pernah menjadi MB Selangor selama 11 tahun.

Jika dibandingkan antara Mohd Ali, Muhyiddin dan Muhammad, Mohd Ali yang paling baru dalam MT Umno. Sepenggal dia menjadi anggota MT, terus menang kerusi Naib Presiden berbanding Muhyiddin dan Muhammad pernah menang kerusi Naib Presiden dalam tahun 1993, serentak tetapi Muhyiddin di kerusi nombor satu manakala Muhammad di kerusi nombor tiga.

Ketiga-tiganya pernah menjadi Menteri Besar/Ketua Menteri, tetapi Mohd Ali seorang sahaja tidak pernah menjadi Menteri, berbanding Muhyiddin dan Muhammad. Tidak pula sesiapa menyimpan rekod, berapa ramai yang bergelar Dato' ketika Muhyiddin menjadi MB Johor, begitu juga dengan Muhmmad, berapa ramai yang dianugerahkan gelaran Dato' dari Selangor ketika dia menjadi MB, tetapi ramai yang mengatakan, ketika Mohd Ali menjadi Ketua Menteri Melaka, bukan sahaja orang Umno dan anggota komponen BN mendapat anugerah Dato', malahan, pelakon Bollywood pun kini sudah bergelar Dato'.

Jika Shah Rukh Khan boleh mengundi dalam pemilihan Umno Mac depan, nescaya hampalah Muhyiddin dan Muhammad untuk mendapat sokongan dan undi dari pelakon Bollywood ini.

Sebenarnya, soal penganugerahan darjah kebesaran, adalah hak kerajaan negeri dan tiada siapa boleh mempertikaikannya. Cuma, apakah selepas Shah Rukh Khan dapat anugerah dari Melaka, selepas ini ada negeri-negeri lain, bercadang untuk menganugerahkan gelaran Dato' kepada mana-mana ahli gusti WWE seperti Randy Orton, Batista atau Undertaker?

Mudah-mudahan, Shah Rukh Khan menepati janjinya, meletakkan nama Melaka pada tajuk filem terbarunya supaya Melaka sentiasa dalam ingatan para penonton filem Bollywood dari seluruh dunia.

Jika dia tidak menepati janjinya, Mohd Ali bolehlah mencari seorang lagi calon Bollywood yang boleh membantu mempromosi Melaka, walaupun dari segi sejarah penganugerahan, hanya mereka yang berjasa kepada negeri sahaja diberikan anugerah seperti ini.

Allahyarham Asmah Alang, Ketua Kaum Ibu Umno (wanita Umno) yang pertama di Negeri Melaka, adalah isteri kepada bekas TPM Tun Ghafar Baba.

Walaupun jasanya barangkali tidak sehebat jasa Shah Rukh Khan, dari kaca mata pegawai-pegawai yang membuat penilaian, untuk tujuan penganugerahan gelaran Dato' dari Negeri Melaka. - mr _


Sumber: HarakahDaily

No comments: