Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, December 10, 2008

Perkasakan ekonomi negeri Pakatan Rakyat - Husam

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) -Kerajaan Kelantan mencadangkan beberapa inisiatif strategik bagi memperkasakan kedudukan ekonomi negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Langkah ini adalah sebagai pencetus kepada pembentukan suatu persepakatan ekonomi yang formal di antara negeri-negeri tersebut sebagai suatu langkah utama menghadapi cabaran-cabaran semasa samada ddari dalam atau dari luar negara.

Ketika membentangkan cadangan ini di dalam forum antarabangsa "The New Economic Vision for Penang and Malaysia" di Pulau Pinang baru-baru ini, Dato' Husam Musa yang mewakili Menteri Besar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, sudah sampai masanya negeri-negeri di bawah tadbiran Pakatan Rakyat menterjemahkan kesepakatan politik mereka kepada inisiatif-inisiatif yang "tangible" dan yang memberikan kesan langsung kepada kebajikan rakyat-rakyat di bawah naungan Kerajaan Pakatan Rakyat tersebut.

Forum dua hari itu dianjurkan oleh InvestPenang dengan kerjasama Penang Development Corporation (PDC). Turut hadir di dalam forum tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut Husam, Kelantan menawarkan dua inisiatif utama dalam masa terdekat, iaitu pembangunan industri pelancongan "high value tourism" di kawasan sekitar Empangan Pergau, dan pembentukan satu persepakatan di dalam mencari langkah-langkah alternatif yang dapat mengurangkan penggunaan baja di dalam projek-projek berkaitan dengan industri pertanian di dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Dengan jarak hanya 2 jam perjalanan dari Pulau Pinang ke Empangan Pergau, pelancong-pelancong yang datang ke Pulau Pinang boleh dibawa ke Kelantan untuk melihat keindahan fauna dan flora di kawasan sekitar Empangan Pergau, dan ini merupakan suatu destinasi yang dapat melengkapkan kunjungan mereka ke negeri Pulau Mutiara itu", tegas beliau.

Selain itu katanya, Tanah Tinggi Lojing dan Taman Negara Nenggiri juga mempunyai potensi pertanian dan pelancongan yang dapat dikongsikan bersama antara negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Dalam aspek pengurangan kos baja pula, beliau menegaskan bahawa dengan harga kelapa sawit dan lain-lain bahan komoditi pertanian yang menjunam sekarang, setiap ringgit pengurangan dalam kos baja akan merupakan penambahan di dalam keuntungan untuk industri tersebut, terutama untuk pekebun-pekebun kecil yang bergantung hidup kepada hasil pengeluaran kelapa sawit. Ini akan menjamin supaya industri pertanian ini terus dapat berdaya maja menghadapi cabaran-cabaran pasaran global.

Menurut Husam lagi, persepakatan ekonomi antara negeri-negeri Pakatan Rakyat ini bukan sahaja penting untuk menghadapi cabaran ekonomi global akibat keruntuhan sistem kewangan di Amerika dan Eropah, tetapi tidak kurang pentingnya ialah untuk menghadapi tekanan-tekanan dan layanan berat sebelah yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap negeri-negeri Pakatan rakyat tersebut.

Beliau menyebut, sebagai contoh bagaimana hasil gas asli yang ditimba dari perairan laut di Kelantan tidak didaratkan di Kelantan, sebaliknya dialihkan ke Songkhla yang jarakanya 50km dari Kelantan, dan kemudiannya dibawa masuk semula melalui Kedah ke Malaysia.

"Langkah ini bukan sahaja mengakibatkan negeri Kelantan terlepas peluang untuk membangunkan industri gas asli di dalam negeri, tetapi juga menyebabkan billion ringgit wang rakyat di bazirkan kerana lencongan 200km "pipeline" tersebut. Akhirnya, Kedah juga jatuh ke tangan Pakatan Rakyat,"katanya.

Di dalam majlis yang sama, Husam menegaskan harapan agar kaum-kaum Melayu dan India yang dipinggirkan selama ini di dalam pembangunan ekonomi di Pulau Pinang akan diberikan peluang yang lebih adil bagi menjamin masa depan yang lebih baik untuk semua kaum di Pulau Pinang.

"Cabaran bukan sahaja untuk memacu ekonomi supaya terus berkembang dan mengekalkan pertumbuhan itu, tetapi juga membetulkan semula kesilapan dua dekad yang lalu, bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan di seluruh Negara", tegas beliau. - mks. _


Sumber: HarakahDaily

No comments: