Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, December 9, 2008

KeADILan ucapkan takziah, Bantuan diperlukan segera

KUALA LUMPUR, 7 DISEMBER (SK) - KeADILan merakamkan simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa dalam tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa semalam. Tragedi tersebut telah menyebabkan kematian empat orang dan kehilangan tujuh orang penduduk setakat ini.

Menurut Ketua Penerangan KeADILan sebuah pusat operasi penyelamatan telah ditubuhkan oleh Pakatan Rakyat di bawah pengelolaan ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali semalam bagi mengumpul sumbangan daripada orang awam dan mengelolakan gerak kerja bantuan serta keselamatan.

“Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan ataupun menjadi sukarelawan, khususnya mengawasi keselamatan pada waktu malam, sila hubungi Angkatan Muda KeADILan pada talian 019-2952065 atau 017-6030093; dan Wanita KeADILan 019-243657,” katanya.

Keperluan seperti generator, lilin, pembuka tin, lampu suluh dan pemanas air amat diperlukan segera tapak pencarian.

Mengulas mengenai kejadian ini, Tian Chua berkata, tragedi tersebut berlaku bukan semata-matanya disebabkan oleh cuaca buruk dan hujan lebat pada awal pagi hari Sabtu, tetapi ini adalah bukti kegagalan Kerajaan Negeri Selangor yang lalu dibawah pemerintahan Barisan Nasional yang banyak meluluskan projek perumahan di lereng bukit.

Tambahnya lagi, KeADILan kesal dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor dibawah Barisan Nasional sebelum ini yang tetap meluluskan projek pembangunan di lereng bukit selepas tragedi Highland Towers tanpa mengira keselamatan penduduk. Ini amat berbeza dengan pendirian yang berpandangan jauh dari Kerajaan Negeri Selangor dibawah Pakatan Rakyat yang mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional selepas 8 Mac.

“Kenyataan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri semalam agar menghentikan semua projek pembangunan di lereng bukit sekitar Bukit Antarabangsa telahpun terlambat kerana tragedi ini bukan pertama kali berlaku di kawasan tersebut,” tabahnya.

Mesyuarat Exco telah memutuskan bahawa kerajaan negeri tidak akan meluluskan permohonan projek pembangunan di lereng bukit yang mempunyai kecenderungan 25 darjah ke atas mulai pada 2 April 2008.

“KeADILan bukan menentang pembangunan tetapi pembangunan mesti mengambil kira semua faktor terutamanya keselamatan dan bukan keuntungan pihak tertentu semata-mata. Tragedi di Bukit Antarabangsa jelas memecahkan mitos pembangunan yang sering digempar gempurkan oleh Barisan Nasional,” katanya lagi

Sumber:
Suara Keadilan

No comments: