Kira-kira 2,000 perwakilan PKR yang menghadiri kongres 2008 selama tiga hari di Shah Alam, Selangor sudahpun kembali ke tempat masing-masing. Kongres 2008 yang berlangsung pada 28-30 November lalu telah diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam yang turut dihadiri oleh ribuan pemerhati dari seluruh negeri.
Kongres yang bertajuk `Harapan Baru’ pastinya memberi impak yang cukup positif kepada para perwakilan dihayati dan diterjemahkan di kawasan masing-masing. Kritikan, cadangan dan pelbagai ide yang dilontar sama ada dari kalangan perwakilan mahupun kepemimpinan PKR sendiri telah dirumus untuk dilaksanakan dengan segera.
Apa yang lebih menarik, Penasihat PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berdiam diri. Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke Terengganu untuk berceramah di masjid Rusila. Dia menemui pimpinan PAS negeri termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Mustafa Ali.
Apa yang menarik dan perlu dihayati dengan nada segera hasil dari kongres 2008 PKR ini adalah ucapan dasar dari Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali. Beliau berucap dalam perasmian kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan.
Dalam ucapan tersebut, tiga perkara yang disifatkan sebagai tunggak kepada kekuatan PKR dan gabungan Pakatan Rakyat. Pertama adalah peringkat keahilan, kedua peringkat organisasi dan ketiga adalah peringkat Pakatan.
Menyebut perkara yang ketiga iaitu di peringkat Pakatan, Dr Syed Husin Ali menyebut betapa perlunya diwujudkan pemaufakatan antara parti dalam gabungan Pakatan Rakyat dengan kadar segera terutama di kalangan genarasi muda dan wanita.
“Di peringkat pimpinan nasional, terdapat kerjasama antara parti yang agak rapat terutama kita mempunyai majlis pimpinan PAKATAN yang sering bertemu untuk membincangkan pelbagai soal hubungan parti dan bermacam masalah yang dihadapi rakyat dan negara.”
Katanya, beberapa buah negeri dan bahagian telah berjaya mengadakan Majlis Pakatan negeri dan permaufakatan Bahagian. Kadar kejayaan kerjasama mereka berbeza-beza. Tetapi ada negeri dan bahagian yang belum menubuhkan lagi.
“Saya lihat di peringkat wanita dan Angkatan Muda sudah ada kerjasama dalam beberapa hal dan komponen lain dalam Pakatan. Namun organisasi atau struktur yang formal belum kelihatan utuh lagi. Saya harap ini dapat dibangunkan segera supaya lebih banyak aktiviti bersama dapat diadakan di dalam pelbagai bidang dan atas bermacam-macam isu. Ini sekaligus boleh memperkuatkan perpaduan dan mengurangkan percanggahan di antara mereka di samping membantu memperkukuh kedudukan kerajaan negeri-negeri di bawah Pakatan. Peranan serta sumbangan Wanita dan Angkatan Muda penting dan dialu-alukan” katanya lagi.
Dr Syed Husin juga melahirkan rasa khuatir dengan pelbagai serangan yang dilakukan oleh media cetak dan elektronik terutamanya yang dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional. Antara lain dia menyentuh, sekarang ini pimpinan Pakatan di lima negeri sering dikritik dan diburuk-burukan oleh media yang hampir semua di miliki atau dikuasai oleh Umno/BN atau nomini mereka.
“Sebagaimana yang disebut lebih awal mereka tidak henti-henti menjalankan propaganda untuk memburukkan Menteri Besar atau Ketua Menteri dan pemerintah di negeri bawah Pakatan. Jikalau boleh mereka hendak menjatuhkan Menteri Besar atau Ketua Menteri serta negeri-negeri ini dan merampas semula kuasa. Mereka pasti akan gagal apabila pimpinan pemerintahan Pakatan berjaya menjalankan tugas untuk membela rakyat dan meningkatkan taraf ekonomi, sosial dan kerohanian mereka” katanya.
Para pemimpin dan ahli gabungan Pakatan Rakyat di setiap peringkat cawangan, bahagian dan negeri sewajarnya mengenepikan masalah dan kepentingan peribadi dengan kadar segera. Masalah kecil tidak perlu diperbesarkan. Masalah besar perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Ini penting kerana setiap tindak tanduk ahli dan pimpinan dari parti-parti gabungan Pakatan Rakyat akan dinilai oleh para pengundi dan para penyokong masing-masing. Rakyat terutamanya di lima buah negeri yang dikuasai gabungan Pakatan Rakyat sudah memberi mandat dan kuasa untuk membela nasib mereka.
Selain itu, para pemimpin gabungan Pakatan Rakyat juga tidak terlalu terbawa-bawa dengan ideologi kepartian masing-masing sehingga ke tahap penuh emosional. Setiap tindakan perlu dilakukan secara berhemah dan berhati-hati agar tiada mana-mana ahli dan parti yang luka dan rakyat menderita.
Contohnya beberapa tindakan yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin kerajaan di negeri Selangor telah menimbulkan dilema kepada parti yang lain. Ini juga telah disebut dengan tegas oleh Ketua Pemuda AMK dalam ucapan dasar pemudanya. Segala-galanya perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati.
Oleh yang demikian, permaufakatan di peringkat bahagian perlu dilakukan dengan segera. Masih banyak ruang yang diberikan oleh kerajaan Negeri sehingga memberi laluan kepada Umno-BN untuk menabur fitnah dan kritikan melulu.
Sememangnya pandangan Dr Syed Husin banyak kebenaran dan perlu diterjemahkan dengan kadar segera.Selepas kejayaan Anwar dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, ujian kini bertumpu di Kuala Terengganu. Sebagaimana kepimpinan PAS bertungkus lumus membantu kemenangan Anwar di Permatang Pauh, diharap peranan yang lebih besar dapat dilakukan untuk pimpinan PKR di Parlimen Kuala Terengganu.
Rakyat akan terus melihat sejauhmana semangat setiakawan dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Sumber: Siasah
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment