Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, December 24, 2008

Kenyataan Media Presiden PKR

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 19 DISEMBER 2008

Parti Keadilan Rakyat semalam telah memutuskan untuk merombak serta melantik barisan pimpinan Pengerusi Perhubungan Negeri yang baru . Keputusan tersebut dicapai oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi selepas bermesyuarat di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat. Rombakan serta lantikan ini bertujuan memacu serta memperhebatkan jentera parti bagi memastikan agenda perubahan dapat dilaksanakan.

Majlis Pimpinan Tertinggi juga secara sebulat suara memutuskan untuk melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri bagi negeri Sabah dan Sarawak. Keputusan tersebut dicapai setelah mempertimbangkan sokongan yang kini semakin nyata terhadap PKR, terutamanya selepas keputusan Pilihanraya Umum ke-12 dan pembentukan gagasan Pakatan Rakyat. Menyedari bahawa kebajikan rakyat negeri Sabah dan Sarawak telah lama diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional, pemilihan Dato’ Seri Anwar sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri adalah tepat bagi memastikan berlakunya perubahan mendasar serta menunjukkan komitmen tuntas PKR di dalam memperjuangkan agenda rakyat keseluruhannya; dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

Agenda untuk melakukan perubahan di Sabah dan Sarawak memerlukan dokongan dan sokongan dari segenap lapisan masyarakat. Manakala Sarawak dijangka akan mengadakan pilihanraya negerinya dalam masa terdekat, perlantikan Dato Seri Anwar sebagai Pengerusi Perhubungan kedua-dua negeri tersebut menjustifikasikan keprihatianan kami terhadap permasalahan di sana serta amat signifikan dalam transisi peralihan kuasa Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Kami percaya mereka yang terpilih untuk menjawat jawatan-jawatan tersebut akan memikul amanah sedaya mungkin dan seterusnya menjalankan tugas dengan rasa penuh tanggungjawab. Tahniah kami ucapkan di atas perlantikan saudara/i sekalian.

Saya selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mantan Pengerusi-Pengerusi Perhubungan Negeri yang telah pun menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Jasa mereka pasti dikenang dan tidak akan dilupakan.

Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat

Bersama ini adalah nama-nama Pengerusi Perhubungan Negeri yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang diadakan pada 18hb Disember 2008:

1. Pahang - Dato’ Fauzi Abd Rahman
2. Pulau Pinang - YB Dato’ Zahrain Mohamed Hashim
3. Negeri Sembilan - YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas
4. Selangor/Wilayah Persekutuan- YB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim
5. Sabah/Sarawak - YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
6. Kedah - YB Tuan Haji Ahmad bin Kassim
7. Kelantan - YB Ab Aziz Ab Kadir
8. Perlis - Johari bin Shafie
9. Melaka - Khalid Jaafar
10. Johor - Dr. Zaliha Mustaffa
11. Perak - Osman Abdul Rahman
12. Terengganu - Wan Rahim bin Wan Hamzah

Sumber: Anwar Ibrahim



No comments: