Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, December 18, 2008

Jerit serah memorandum di Parlimen, seorang ditahan

[DIKEMAS KINI, 4.30 PETANG] KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kumpulan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) ditahan polis di pintu masuk Parlimen kerana enggan mematuhi arahan dan menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, menurut sumber, lelaki tersebut bukan salah seorang aktivis Jerit yang membuat kayuhan basikal bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan pusat dan pembangkang tengah hari tadi.

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Polis membenarkan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), yang dianggotai pelbagai NGO, untuk memasuki kawasan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan pusat dan pembangkang tengah hari tadi.

Memorandum tersebut diserahkan kepada lima Ahli Parlimen.

Mereka terdiri daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah bagi pihak kerajaan, S. Manikavasagam (DAP), Mahfuz Omar (PAS), Dr. D. Jeyakumar (Parti Sosialis Malaysia) dan Saifuddin Nasution mewakili Ketua Pembangkang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.

Sejak sebulan lalu Jerit mengadakan program mengayuh basikal untuk menyerahkan memorandum kerajaan-kerajaan negeri termasuk yang terbaru semalam kepada kerajaan negeri Selangor.

Pada sidang media diadakan selepas itu, Jeyakumar berkata, beliau berharap kumpulan-kumpulan lain juga selepas ini akan dapat menyuarakan hasrat mereka secara bebas dengan apa jua cara seperti yang dilakukan Jerit.

Beliau turut melahirkan rasa tidak puas hatinya kerana kumpulan yang terdiri daripada 130 orang itu ditahan oleh pihak polis di pintu masuk ke Parlimen sedangkan mereka telah pun mendapat kebenaran daripada pihak keselamatan Parlimen.

"Memang mereka tidak dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen kerana berseluar pendek tapi mereka dibenarkan masuk ke dewan serbaguna bagi mengadakan majlis kami di sini.

"Jadi sebab mengapa polis tahan mereka, saya tidak pasti," katanya.

Sementara itu, Murugiah pula telah meninggalkan majlis tersebut selepas menerima memorandun daripada mereka.

Bagaimanapun, penyelaras Jerit, Y. Kohila Janasekaran berkata, Murugiah berjanji akan melihat perkara yang terkandung dalam memorandum berkenaan.

Terdahulu, 12 daripada peserta kumpulan itu yang diketuai Mahfuz dan Manikavasagam dibenarkan berkayuh masuk ke pekarangan dewan seperti yang dirancang, manakala selebihnya dibenarkan masuk secara berperingkat dengan berjalan kaki.

Mereka tiba di dewan tersebut pada pukul 11.50 pagi dan disambut oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Lim Kit Siang (Ipoh Timur), Saifudin Nasution (Machang), Abdullah Sani (Kuala Langat), R. Sivarasa (Subang), Tian Chua (Batu) dan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian).

BERITA TERDAHULU

Sementara itu, kesemua basikal mereka kini telah dipunggah masuk ke dalam trak polis.

Berikutan rancangan kumpulan Jerit ini, pintu masuk Parlimen telah mula dikawal ketat sejak jam 7 pagi untuk tujuan keselamatan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan bertindak jika berlaku "apa-apa perkara".

"Kita tengok dulu. Bagi kami peluang untuk bekerja," kata beliau yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, menurut jurucakap Bilik Gerakan, Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, Sarjan Othman Ahmad ketika dihubungi, kawalan trafik sempena program Jerit itu hanya dilakukan di pintu masuk ke Parlimen tanpa melibatkan jalan-jalan lain.

"Pemantauan hanya dilakukan di pintu masuk Parlimen yang berhampiran Jalan Mahameru manakala kawalan trafik di jalan-jalan lain adalah seperti biasa," katanya ketika dihubungi.

Kumpulan yang menyertai program Rakyat Pengayuh Perubahan anjuran Jerit ini telah menjadi tumpuan sejak sebulan lalu.

Difahamkan, ia adalah satu program yang dipimpin dan digerakkan oleh jawatankuasa pekerja dan masyarakat yang mahukan perubahan.

Ia bertujuan membawa mesej kesedaran tentang isu-isu semasa yang memberi tekanan kepada kehidupan rakyat dan membawa perubahan.

Semalam, seramai 120 peserta program itu telah menyerahkan satu memorandum mengandungi enam tuntutan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Ia sebahagian daripada rancangan kumpulan itu menyerahkan memorandum kepada kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sejak sebulan lalu.

Polis telah pun menahan 57 orang termasuk 28 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ditahan polis kerana progrma itu di sekitar Sungai Choh, Rawang, Isnin lalu.

Antara yang ditahan adalah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nie daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr, D. Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sumber: mSTAR



No comments: