K'jaan dijangka turun lagi harga minyak
Harga minyak tempatan mungkin diturunkan lagi sebelum Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan HalEhwal Pengguna Datuk Shahrir Samad.
Shahrir berkata beliau mengharapkan berita gembira itu sepertimana yang diharapkan oleh rakyat sejajar dengan trend penurunan harga minyak pada masa ini.
"Saya memang seronok melihat harga minyak di pasaran dunia turun, walaupun dijangka adanya kekangan berikutan masalah Gustav dan politik di Eropah dan sebagainya.
"Tetapi nampaknya harga minyak di paras yang stabil dan saya harap ia akan berterusan stabil dan menurun sedikit supaya sebelum menyambut hari raya nanti, dapat satu berita yang baik.
"Jadi, harapannya ialah kalau dapat, kita lihat kepada harga pasaran ke hadapan, pasaran hadapan pun AS$110, jadi kemungkinan ia akan rendah daripada itu saya pun nak melihat juga bahawa kita akan dapat hadiah hari raya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Web TV Bernama di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, demikian menurut laporan Bernama.
Shahrir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai trend harga minyak dunia pada masa ini yang menurun kepada AS$109 setong hari ini berbanding AS$115 setong pada dua minggu lalu.
Ditanya sama ada kerajaan telah menetapkan tarikh untuk mengumumkan harga minyak baru, beliau berkata dari segi amalannya, kerajaan telah bersetuju untuk mengambil harga bagi tempoh sebulan.
Berita baik
Bagaimanapun, katanya pada bulan lalu, kerajaan mengumumkan untuk menurunkan harga minyak lebih awal selepas mengambilkira tentang kenaikan indeks harga pengguna dan sempena sambutan Merdeka pada bulan tersebut.
"Jadi, kabinet berasakan mengapa tidak, daripada kita tunggu, kerana harga minyak telah turun begitu baik pada paras yang baik, jadi kita memutuskan untuk menurunkan harga minyak pada ketika itu lebih awal daripada sepatutnya," katanya.
Shahrir berkata keadaan yang sama dijangka akan berlaku pada bulan ini selepas mengambikira pada bulan lalu yang berhadapan dengan sambutan Hari Kemerdekaan.
"Hari Raya pun lebih kurang sama tarikhnya, jika ada berita yang baik diharap hari raya nanti ada berita yang benar-benar baik," katanya.
Mengulas mengenai Web TV Bernama yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu, Shahrir berkata kemudahan itu akan memberi faedah kepada mereka yang mengikuti berita mengenai isu semasa di mana sahaja yang boleh diperoleh perkhidmatan internet.
Katanya perkhidmatan itu juga akan membantu kerajaan dari segi menyampaikan mesej dan berita secara tepat dan cepat dengan menggunakan teknologi sedia ada.
"Ini menjadikan berita Bernama boleh didapati di mana sahaja di dunia dengan menggunakan kemudahan internet dan Bernama sendiri dengan menggunakan teknologi sedia ada dapat menjadi badan berita yang bertaraf antarabangsa," katanya.
Sumber: Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment