Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, September 2, 2008

Raja Petra disiasat polis Khamis ini

Pengendali blog kontroversi Malaysia Today akan disiasat Khamis ini berhubung akuan berkanun seorang doktor di Hospital Pusrawi dalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut blog itu, yang kini diharamkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Raja Petra Kamarudin diminta hadir di ibu pejabat polis bahagian siasatan jenayah perdagangan, Kuala Lumpur pada jam 10 pagi.

Sekumpulan polis menggeledah rumahnya dekat Bandar Baru Sungai Buloh selama dua jam pada 22 Ogos lalu berhubung akuan berkanun doktor hospital swasta itu Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.

Polis merampas sebuah komputer riba, alat pengimbas dan beberapa dokumen dalam serbuan bermula 8 pagi (foto fail).

Pada 27 Ogos, SKMM mengarahkan penyedia khidmat internet (ISP) utama negara menyekat akses kepada blog popular tersebut.

"Ia dihalang kerana didapati beberapa komen dalam laman web itu tidak sensitif, tiada batas dan menghasut," kata ketua pegawai operasi suruhanjaya itu, Mohamed Sharil Tarmizi minggu lepas.

Sekatan SKMM pertama kali diambil terhadap sebuah laman web bukan pornografi dan penipuan wang dalam talian.

Bagaimanapun, pembaca Malaysia Today boleh melayari laman blog itu dengan menaip alamat IP-nya atau menggunakan alamat alternatif.

Akuan berkanun doktor itu pertama kali muncul di Malaysia Today pada hari Anwar dituduh di mahkamah, 7 Ogos lalu.

Dalam akuan berkanunnya bertarikh 1 Ogos, Dr Mohamed Osman berkata, beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang mendakwa diliwat oleh Anwar.

Akuan itu dibuat susulan penafian pihak majikannya yang menyatakan beliau tidak menjalankan pemeriksaan berkaitan liwat terhadap pemuda itu selepas salinan laporan pemeriksaan itu didedahkan kepada umum sehari sebelumnya.

Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada media pada 28 Julai lalu, Dr Mohamed Osman menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat selepas memeriksa Mohd Saiful.

Doktor itu memeriksa Mohd Saiful beberapa jam sebelum pemuda itu membuat laporan polis mendakwa diliwat pada 28 Jun lalu.

Mohd Saiful kemudiannya membuat pemeriksaan sekali lagi di Hospital Kuala Lumpur.

Selain mempertahankan pemeriksaannya, Dr Mohamed Osman juga mendakwa beberapa perenggan dan perkataan telah ditambah kepada kenyataannya kepada polis berkaitan perkara tersebut.

Menurut akuan berkanun doktor itu, dua pegawai polis mengambil keterangannya dalam tiga pertemuan bagi menyiasat kes tersebut.

Pada Julai lalu, kenyataannya diambil oleh ASP Rosmi Mat Derus daripada jabatan siasatan jenayah (CID) ibu pejabat polis daerah Brickfields.

Katanya, beliau bertanya kepada pegawai polis berkenaan dalam pertemuan kedua mengapa nama Anwar tiba-tiba terdapat pada beberapa perenggan keterangannya yang ditaip semula oleh polis.

Sedangkan, menurut akuan Dr Mohamed Osman, nama penasihat PKR tidak pernah disebut sepanjang beliau memberi kenyataan dalam pertemuan awal dengan polis.

Menurut doktor itu lagi, seminggu kemudiannya, DSP Choo dari bahagian CID ibu pejabat polis daerah Dang Wangi juga mengambil kenyataannya.

Katanya, pegawai wanita berkenaan memintanya menceritakan semuanya sekali lagi, dan beliau menceritakan semua yang diketahuinya secara terperinci mengenai keseluruhan prosedur berkaitan dengan pemeriksaan yang dijalankan ke atas pesakit tersebut.

Menurutnya lagi, di peringkat permulaannya, DSP Choo memberi tanggapan bahawa beliau akan didakwa jika enggan bekerjasama dengan pihak polis.

Katanya, siasatan polis yang berterusan dalam kes berprofil tinggi itu mengganggunya sehingga beliau bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarganya.

Kira-kira seminggu selepas pertemuan kali ketiga dengan pihak polis, beliau memohon untuk bercuti dan meninggalkan Malaysia bersama keluarganya.

Sumber: Malaysiakini

No comments: