Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, November 14, 2008

Sidang sebutan kes liwat Anwar bermula

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Sidang sebutan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen mula dibicarakan pukul 9.48 pagi ini.

Anwar tiba di mahkamah bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga pada pukul 9.28 pagi ini.

Pada 7 November lalu, Hakim S.M Komathy Suppiah memutuskan untuk mendengar kes itu di Mahkamah Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.

Anwar, 61, menghadapi perbicaraan atas tuduhan dengan sukarela melakukan liwat ke atas bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun.

Jika sabit kesalahan, beliau menghadapi hukuman penjara hingga 20 tahun di bawah Sekseyen 377B kanun Keseksaan. Beliau sekarang bebas dengan bon peribadi RM20,000.

Pasukan pendakwana diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden iaitu ketua unit pendakwaan di Jabatan Peguam Negara. Beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Farhan Read dan Shamsul Sulaiman.

Pasukan peguam bela terdiri daripada Sulaiman Abdullah, R. Sivarasa, Sankara N.Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Kes tersebut, yang kedua melibatkan Anwar dalam satu dekad ini, pertama kali disebutkan awal Ogos lalu.

Kemudian pendakwa mohon ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,

Minggu lalu, sebelum tarikh ditetapkan, timbalan pendakwa raya Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, ketua unit pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, meminta mahkamah menetapkan tarikh pendengaran.

Bagaimanapun Sulaiman, peguam utama Anwar, memberitahu mahkamah pendakwa perlu mengemukakan dokumen tertentu seperti laporan perubatan dan kimia berkaitan kes kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Ketika menolak permohonan pendakwaan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Komathy memutuskan oleh kerana sijil itu ditandatangani sendiri oleh Abdul Gani, ia melanggar ekspektasi undang-undang Anwar bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu.

Pada Selasa lalu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memutuskan kes ini tetap dibicarakan di mahkamah itu tanpa perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Rayuan itu difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen.


Sumber: mSTAR

No comments: