Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, November 26, 2008

Wanita tuntut satu kerusi teratas PKR

Wanita PKR mahu menuntut sekurang-kurangnya satu daripada lima jawatan utama di semua peringkat tertinggi parti termasuk bahagian, kata ketuanya Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, wanita mahu sasaran 30 peratus pembuat keputusan dicapai dalam PKR seperti di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi dan badan perhubungan negeri.

"Ia harus dimulakan di peringkat pusat, kemudian diterapkan di bahagian-bahagian," katanya kepada Malaysiakini.

Cadangannya itu, Zuraida berkata, termasuk menambah satu lagi jawatan naib presiden PKR untuk seorang pemimpin wanita.

PKR sekarang mempunyai lima naib presiden, termasuk dua yang dilantik.

Tambahnya, terdapat ramai pemimpin wanita yang layak mengisi kerusi penting itu, misalnya ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga bekas ketua Wanita sebelum Zuraida.

Ahli parlimen Ampang berkata, cadangannya itu akan dibawa oleh Wanita dalam Kongres Nasional PKR hujung minggu ini di Shah Alam.

Tambahnya, cadangan Wanita itu bukanlah perkara baru, sebaliknya dikemukakan ekoran keputusan kongres empat tahun lepas yang mensasarkan penyertaan 30 peratus kaum wanita dalam hirarki parti itu.

"Setakat ini (penyertaan wanita) 20 peratus sahaja," katanya.

Perhimpunan terbesar parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemakan 'Harapan Baru' akan berlangsung 28 hingga 30 November.

Kira-kira 2,000 perwakilan daripada lebih 160 bahagian akan bersidang di Stadium Melawati.

Sayap Wanita dan Pemuda PKR akan mengadakan kongres mereka pada Jumaat, sehari sebelum kongres nasional yang dijangka menjadi tumpuan selepas kemenangan besar parti itu dalam pilihanraya umum Mac lalu dan persiapannya berdepan pilihanraya negeri Sarawak yang dijangka diadakan tahun depan.


Sumber: Malaysiakini

No comments: