Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, November 20, 2008

Kes liwat: Mahkamah Tinggi dengan hujah pindah kes kali kedua hari ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini akan mendengar semula buat kali kedua hujah pihak pendakwaan dan pembelaan bagi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 1, S.M Komathy Suppiah yang tidak membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 14 November lalu, pihak pendakwaan dan pembelaan telah bertelagah mengenai urusan pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi walaupun Hakim Komathy mendapati sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.

Hal itu menyebabkan sesi sebutan kes yang dijadualkan bermula pada hari tersebut terpaksa ditangguhkan ke hari ini dan esok

Pada awal sesi sidang mahkamah minggu lalu, peguambela Anwar, R. Sivarasa mempersoalkan tentang pelanggaran akujanji pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang berjanji akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Sivarasa berhujah berdasarkan peruntukan Seksyen 51(A) yang menjelaskan segala dokumen yang berkaitan mestilah disediakan oleh pihak pendakwaan sebelum tarikh perbicaraan.

Bagaimanapun Mohamed Yusof memaklumkan kepada mahkamah peruntukan seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terutamanya bagi sub-seksyen 35(2) yang memperuntukan bahawa memandangkan ada permohonan semakan semula, semua prosiding di mahkamah rendah hendaklah digantung.

Pada 11 November lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan yang dibuat Komathy pada 7 November lalu.

Kemudian pada 12 November, Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) memaklumkan bahawa Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 20 hingga 21 November depan untuk mendengar penghujahan kedua-dua pihak berhubung semakan tersebut.

Alasan yang diberikan Mohamed Yusof masih tidak memuaskan hati pihak pembelaan yang tetap menggesa pihaknya mengemukakan dokumen yang berkaitan kerana kes tersebut akan tetap dibicarakan.

Oleh yang demikian, Mohamed Yusof memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan segala dokumen yang diperlukan itu.

Sumber:
mSTAR

No comments: