Selepas 10 tahun, gerakan reformasi pada tahun 1998 yang tercetus ekoran pemecatan timbalan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan "mendapat kemenangan kecil di sebalik kekalahan besar".
Aktivis reformasi Hishamuddin Rais berkata, gerakan reformasi yang menggerakkan puluhan ribu rakyat Malaysia turun ke jalanraya itu, gagal menuntut "perubahan struktural" melibatkan perubahan dalam sistem dan dasar-dasar ekonomi.
"Kini Pakatan Rakyat memerintah lima negeri. Apa yang perlu dilakukan kalau reformasi ingin terus dikembangkan - daripada kemenangan-kemenangan kecil kepada kemenangan besar pada 8 Mac - adalah membincangkan perubahan struktural.
Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk 'Reformasilah: Membincangkan (lagi) 10 Tahun Reformasi Malaysia dan Indonesia' anjuran Pusat Penyelidikan dan Maklumat Strategik (SIRC) di ibunegara malam tadi.
Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, gerakan reformasi berjaya membuatkan orang Melayu buat pertama kali bangun menentang penggunaan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).
Tindakan itu katanya, berbeza dengan tindakan mereka daripada zaman 1971 hingga 1974, yang hanya membiarkan orang Cina sahaja menuntut penghapusan akta kontroversi itu.
Perubahan struktur
Beliau turut mengkritik Anwar yang didakwanya "tidak pernah mengajukan reformasi" sebelum dipecat oleh perdana menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamad.
Hishamuddin mentafsirkan reformasi pada 1998 sebagai pertembungan 'borjois kecil dan borjois besar'.
"Ia hanya pertembungan kelas, tidak ada kena mengena dengan perubahan struktur," katanya.
Pada masa itu, katanya, ramai yang berharap Anwar menjadi perdana menteri dalam masa terdekat dan mengalihkan tauke-tauke besar itu supaya tempat itu dapat diganti mereka.
Turut bercakap dalam forum tersebut ialah aktivis budaya Indonesia Yoshi Fajar Kresno Murti.
Bercakap dalam konteks kebudayaan, beliau mendakwa, reformasi di Indonesia membawa perubahan dalam aspek politik tetapi tiadak perubahan dalam gerakan sosial dan budaya.
Novel erotis
Menurutnya lagi, ini disebabkan proses 'pembodohan' yang lama sewaktu pemerintahan bekas presiden Soeharto yang lama.
Sementara itu, aktivis Taman 65 Bali, Ngurah Termana pula mendakwa reformasi telah berjaya menjadikan rakyat berani mempersoalan dasar-dasar pemerintah.
Namun, tambahnya, dari aspek yang lain, lahir pula golongan fundamentalis moral yang cenderung kepada keganasan seperti Front Pembela Islam (FPI).
Ditemui selepas forum, beliau berkata, golongan-golongan FPI yang melihat suasana kebebasan selepas reformasi 1998 sebagai sesuatu yang negatif.
Akhirnya, tambah Ngurah, golongan penulis seperti Ayu Utami yang terkenal dengan novel bercorak erotisnya dan penerbitan Play Boy Indonesia menjadi mangsa suasana baru ini.
Sumber: Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment