Kerajaan Negeri Selangor akan membantu golongan yang tidak berkemampuan yang tinggal Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menyelesaikan masalah sewa mereka.
Menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor, kerajaan negeri yang prihatin terhadap kebajikan dan keselesaan rakyat, begitu komited untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul ekoran daripada kenaikan kadar sewaan bagi PPR.
"Golongan yang benar-benar tidak berkemampuan, iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM1500 sebulan dan golongan kurang upaya (OKU) akan diberi bantuan untuk menyelesaikan masalah bayaran sewa mereka," kata kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.
Menurutnya, permohonan bantuan boleh dibuat melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor yang terletak di Tingkat 5, Podium Utara, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan pengurusan dan penyelenggaraan di sesetengah PPR yang dirasakan kurang sistematik.
Langkah itu, tambahnya, bagi memastikan kediaman yang disediakan adalah selesa serta setimpal dengan nilai sewaan yang dibayar oleh penghuninya.
Sejajar dengan matlamat tersebut, katanya, kerajaan negeri akan menubuhkan satu perbadanan pergurusan bagi mengawal selia dan mengurus semua PPR di Selangor.
Ia bertujuan untuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan kawasan perumahan terlibat dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu agi, kerajaan negeri akan sentiasa memantau bagi mengelakkan dari adanya pihak yang tidak layak, cuba mengambil kesempatan untuk bantuan yang diberikan.
"Kerajaan negeri akan senantiasa memantau dan seterusnya mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang sengaja membuat bayaran lewat atas alasan tidak berkemampuan sedangkan sebenarnya berkemampuan," katanya.
Sumber: Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment