Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat memberi lebih banyak ruang kepada aktivis dan pemimpin pergerakan itu untuk terlibat dalam jentera pentadbiran.
Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata beliau masih belum berpuas hati kerana kira-kira 40 peratus sahaja tenaga muda PKR diberikan peranan, setakat ini.
"Saya masih tidak berpuas hati, saya masih tidak berpuas hati. Sebab itu kita menggunakan saluran-saluran yang positif untuk memberitahu kepada (kerajaan) negeri (berhubung peranan pemuda)," katanya hari ini.
Tambahnya, generasi muda PKR menyuarakan hasrat mereka untuk diberikan ruang berperanan yang lebih besar dan aktif dalam pentadbiran di lima kerajaan negeri.
"Pada saya ia merupakan satu permintaan yang adil kerana kita harus menunjukkan bahawa setelah generasi muda dalam pilihanraya yang lalu (mengundi Pakatan), generasi muda memainkan peranan penting yang menjadi faktor kemenangan utama apabila mereka membuat keputusan untuk tidak lagi mengundi Umno dan Barisan Nasional.
"Maka dengan itu, sewajarnya ruang-ruang yang lebih diberikan kepada AMK," tambah Shamsul Iskandar sewaktu ditemubual oleh Malaysiakini bersempena kongres AMK di Stadium Malawati, Shah Alam esok.
Kongres itu, yang diadakan serentak dengan mesyuarat agung tahunan Wanita, diadakan sehari sebelum kongres tahunan kelima PKR selama dua hari di tempat yang sama hujung minggu ini.
Bagaimanapun, tambah Shamsul Iskandar, ahli-ahli AMK harus mengubah kerangka fikiran mereka daripada mentaliti pembangkang kepada mengisi kemenangan.
Di Selangor yang diketuai PKR, katanya lagi, kerajaan negeri tidak dapat menyerap sepenuhnya tenaga AMK seperti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana perubahan perlu dilakukan berperingkat-peringkat.
"(Menteri besar) Tan Sri Khalid (Ibrahim) cuba melakukan tindakan yang terbaik, secara bertahap-tahap, dan tidak drastik supaya minda dapat diselaraskan," katanya sewaktu mengulas sejauh mana peranan AMK dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Setakat lapan bulan kemenangan parti itu dalam pilihanraya umum Mac lepas, AMK telah memulakan gerakan pembangunan komuniti bagi mengisi kemenangan tersebut, misalnya di kawasan DUN Seri Setia dan Batu Caves - masing-masing dimenangi oleh tokoh muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Amiruddin Shari.
"Bagaimanapun ia belum teratur setakat ini dan akan merasmikan struktur (program pembangunan masyarakat). Isu ini akan dibangkitkan dalam kongres AMK," katanya, dengan mengambil contoh projek pembangunan yang diusahakan oleh presiden baru Amerika Syarikat, Barack Obama.
"Ini satu segmen yang belum dilihat secara mendalam oleh pimpinan parti," kata Shamsul Iskandar. "Ia satu segmen yang perlu diperkemaskan."
Program pembangunan masyarakat ini akan dikembangkan ke negeri-negeri yang belum dikuasai PKR untuk menarik pembabitan generasi muda, tambahnya.
Selain isu itu, AMK juga akan membentuk program-program pembinaan barisan pemimpin pelapis dan membentuk pasukan yang kuat bagi mengisi agenda anak muda.
Beliau juga menafikan kekurangan tenaga dalam PKR kerana ramai profesional muda dan aktivis AMK yang menuntut ruang dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Mengulas kekurangan AMK di bahagian-bahagian PKR, peguam itu menegaskan bahawa kemasukan anak-anak muda di beberapa negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat telah meningkat mendadak, sementara di negeri-negeri yang tidak dikuasai mereka peningkatan ahli AMK sangat memberangsangkan.
Mengulas perbezaan politik antara AMK dengan Pemuda-pemuda PAS dan DAP misalnya dalam isu konsert diraja dan pembatasan jualan alkohol, Shamsul Iskandar berkata kerjasama dalam Pakatan Rakyat satu pengalaman baru politik yang memerlukan muafakat.
"Ada pepatah Inggeris menyatakan silence is virtue, kita ambil pendekatan berdiam diri. Kalau Pemuda PAS bersikap lantang, dan jika AMK mengambil sikap bertentangan, (keadaan) itu memberi ruang kepada parti pemerrintah (BN) melakukan serangan (kepada Pakatan), akhirnya membawa gambaran kita berpecah-belah," katanya, mengulas kelantangan PAS membantah konsert anjuran kerajaan Selangor, Jun lepas.
Tambahnya, walaupun AMK berdiam diri di depan media, di peringkat perbincangan tertutup, pergerakan itu tetap menyuarakan pandangan kepada Pemuda PAS, misalnya melalui mesyuarat biro politik Pakatan Rakyat di peringkat Selangor yang diadakan sekurang-kurangnya setiap bulan.
Katanya, pergeseran terbuka dalam kalangan parti-parti Pakatan Rakyat menunjukkan perlunya tempoh penyesuaian, khususnya di peringkat awal pentadbiran kerajaan campuran seperti di Selangor.
Sehubungan itu, AMK bersama Pemuda-pemuda PAS dan DAP sedang merancang mengadakan konvensyen belia di peringkat pusat bagi membincangkan agenda generasi muda awal tahun depan.
"Saya sendiri sedang menyiapkan pasukan AMK untuk berdepan dengan kemelut masa depan.
"Selain masalah ekonomi (akibat kemerosotan ekonomi global), kita juga menjangkakan perpecahan besar dalam Umno (menjelang pemilihannya, Mac depan) dan kita boleh manfaatkan perkembangan ini untuk sama-sama menarik ahli-ahli muda mereka," kata Shamsul Iskandar lagi.
Sumber: Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment