Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, February 26, 2009

Kes Anwar: Mahkamah putuskan 5 Mac untuk semakan permohonan - mStar

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dipindahkan ke Mahkamah Tinggi ataupun kekal didengar di Mahkamah Sesyen akan diketahui 5 Mac ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan demikian dengan menjelaskan bahawa beliau memerlukan masa untuk mendengar hujah-hujah dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan semalam dan hari ini.

Sesi mahkamah hari ini bermula kira-kira pukul 9 pagi dengan pihak pembelaan menyambung hujah berhubung peranan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam menandatangani sijil untuk memindahkan kes tersebut dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak bantahan awal Anwar terhadap rayuan pasukan pendakwaan untuk memindahkan kes liwatnya ke Mahkamah Tinggi.

Malah semalam Mohamad Zabidin memutuskan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden akan kekal mengetuai pasukan pendakwaan kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen itu ekoran keputusan pihak pembela untuk menarik balik permohonan menggugurkan beliau.

Ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah berkata, Mohd Yusof telah menghantar afidavit yang membuat perakuan bahawa beliau tidak mempunyai kertas siasatan insiden mata lebam bekas Timbalan Perdana Menteri itu walaupun beliau menganggotai Suruhanjaya Diraja menyiasat insiden tersebut.

SALAHI UNDANG-UNDANG

Sementara itu dalam hujahnya semalam, Mohamed Yusof berkata, keputusan Mahkamah Sesyen tidak memindahkan kes liwat Anwar ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan adalah menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, ia adalah mandatori untuk Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 418A (3) Kod Prosedur Jenayah (CPC), untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi apabila sijil pemindahan telah dikeluarkan oleh pendakwaan.

Beliau juga berkata, sijil pemindahan dikemukakan kepada mahkamah itu, sebelum perbicaraan dimulakan, Hakim Mahkamah Sesyen hendaklah memindahkan kes tersebut.

Mohamed Yusof berhujah bahawa Peguam Negara hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan bukan satu fungsi kehakiman atau kuasa kehakiman apabila beliau menandatangani sijil pemindahan di bawah Seksyen 418A CPC.

"Sehubungan itu, Hakim S.M.Komathy Suppiah telah tersalah dalam undang-undang apabila memutuskan bahawa sijil pemindahan itu ditandatangani oleh Peguam Negara adalah tidak sah," kata Mohamed Yusof dalam permohonan pendakwaan untuk semakan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen mengekalkan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang itu di Mahkamah Sesyen.

Pada prosiding yang bermula 3 petang semalam, Mohamed Yusof dalam merit semakan, berkata bahawa semasa Abdul Gani menandatangani sijil pemindahan itu ia tidak berasaskan satu peraturan yang bertentangan dengan pilih kasih walaupun beliau masih lagi disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berikutan satu laporan polis terhadap beliau mengenai mereka-reka keterangan dalam siasatan insiden "mata lebam" ketika Anwar ditangkap pada 1998.

Mengenai jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Abdul Gani tidak akan secara peribadi membabitkan diri dalam kes ini yang telah menimbulkan harapan yang sah dan munasabah kepada Anwar dan orang ramai, Mohamed Yusof berkata, Abdullah telah berkata dalam kapasitinya sebagai ketua eksekutif.

Beliau berkata, Perdana Menteri bukan secara peribadi cekap dalam bidang perundangan dan orang yang sepatutnya mengendalikan perkara berkaitan undang-undang ialah Peguam Negara.

PEMBABITAN PEGUAM NEGARA

Sulaiman berhujah bahawa pembabitan Peguam Negara dalam kes terkini Anwar dan menimbulkan keputusan berat sebelah oleh kerana Abdul Gani masih disiasat oleh BPR berikutan laporan Anwar serta hubungan kedua-duanya adalah keruh.

Sulaiman juga berkata, jaminan Perdana Menteri menimbulkan keyakinan awam bahawa Abdul Gani tidak akan melibatkan diri dalam kes ini.

Sulaiman berkata, Perdana Menteri telah memberikan pertimbangan terhadap perkara ini dan mestilah menjadi lebih penting pada keadilan dan proses undang-undang dengan mengatakan bahawa Peguam Negara tidak akan membabitkan diri dengan kes ini.

Peguam itu akan menyambung penghujahan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah esok.

Anwar, yang dikecualikan daripada menghadiri perbicaraan, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23 di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30petang pada 26 Jun.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000.

Pendakwaan memfailkan satu semakan serta satu permohonan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 7 November 2008, yang menolak permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi setelah memutuskan bahawa sijil pemindahahan, ditandatangani oleh Abdul Gani, adalah sah.

Pembelaan telah mencabar kesahihan sijil pemindahan itu kerana Abdul Gani masih lagi disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


Sumber: mStar

No comments: