Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, February 17, 2009

Lelaki edar gambar bogel Exco Selangor belum dikenal pasti

PETALING JAYA: Polis masih belum mengenal pasti dalang di sebalik pengedaran gambar bogel Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, polis bagaimanapun akan merekodkan kenyataan daripada wartawan, yang memaklumkan kepada wakil rakyat itu mengenai pengedaran gambar bogel ahli politik berumur 37 tahun itu.

"Kami juga akan memanggil seorang wartawan, yang memaklumkan mengenai pengedaran gambar bogel itu kepada wakil rakyat Bukit Lanjan itu. Jadi saya harap semua pihak bersabar sehingga kami menyelesaikan siasatan kami," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Arjunaidi berkata, polis masih belum menerima gambar bogel itu dan masih terlalu awal untuk mengesahkan imej siapa yang sebenarnya dalam gambar itu.

Beliau mengesahkan Wong telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara di Petaling Jaya kira-kira 11.05 malam semalam selepas wartawan itu memaklumkan kepadanya mengenai pengedaran gambar berkenaan.

"Bagaimanapun laporan itu tidak lengkap kerana beliau hanya dimaklumkan oleh pihak ketiga (wartawan) mengenai pengedaran gambar bogel itu. Beliau (Wong) memberitahu polis gambar itu diambil semasa beliau sedang tidur.

"Saya ingin menasihatkan mereka yang menyimpan gambar bogel Wong supaya menyerahkannya kepada polis dan membantu penyiasatan kami," katanya dan menurutnya polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki gambar pornografi.

Sementara itu, Wong berkata pengedaran gambar itu bertujuan berniat jahat.

Dalam satu kenyataan hari ini, katanya pengedaran gambar bogelnya itu bertujuan mencemarkan maruahnya dan pencerobohan kehidupan peribadinya.BERNAMA

Sumber: mSTAR


No comments: