Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, February 13, 2009

SPR tidak ragui surat Arumugam, 2 pilihan raya serentak 7 April

[DIKEMAS KINI, 4.00 PETANG] PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Bukit Selambau, V. Arumugam sebagai sah, sekali gus mengadakan dua pilihan raya kecil serentak awal April ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengesahkan semua dokumen berkaitan peletakan jawatan itu, yang diserahkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, adalah sah dan tidak wujud keraguan.

"Setelah meneliti notis pemakluman oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah serta dokumen-dokumen yang dilampirkan bersama notis tersebut, selepas mendalaminya secara rapi setiap dokumen berkenaan serta maklumat-maklumat berkaitan dari Penasihat Undang-undang Negeri Kedah serta pandangan perundangan dari pihak Jabatan Peguam Negara, maka SPR dengan ini mengesahkan bahawa kerusi bagi bahagian pilihan raya Bukit Selambau, adalah kosong dan tarikh kekosongan berkuat kuasa pada 8 Februari 2009," katanya lagi.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Bukit Selambau dan kerusi Parlimen Bukit Gantang akan diadakan pada 7 April ini.

Tarikh penamaan calon pula diadakan 29 Mac.

Tempoh kempen adalah selama sembilan hari. Pilihan raya kecil ini diadakan hampir dua bulan selepas kekosongan wujud.

-------------------------------------------------------------------------------

MAKLUMAT SEPINTAS LALU

-------------------------------------------------------------------------------

Kerusi Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan.

Pada pilihan raya umum 2008 Roslan, 50, menewaskan Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Zabidi dan calon Bebas Mohganan P. Manikam dengan majoriti 1,566 undi.

Arumugam, 55, yang bertanding atas tiket Bebas menewaskan calon Barisan Nasional S. Krishnan. Arumugam kemudian menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berhubung kerusi DUN Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, SPR berpuas hati dengan dokumen-dokumen yang telah dikemukakan oleh Speaker Kedah berhubung kekosongan kerusi tersebut ekoran peletakan jawatan Arumugam.

"Kita puas hati dan dokumen yang dikemukakan adalah sah.

"Kita juga telah dapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang SPR juga Jabatan Peguam Negara dan kita yakin dokumen-dokumen itu sah... jadi kita tidak ragu-ragu berhubung kekosongan itu," katanya.

Dua minggu lalu, SPR memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang atas alasan wujud keraguan dalam surat letak jawatan yang dikemukakan kepada badan tersebut.

Jelasnya keputusan yang dibuat bagi kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang tidak boleh disamakan dengan kerusi DUN Bukit Selambau.

"Bagi kerusi DUN Bukit Selambau, penyandangnya tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung perletakkan jawatannyan sebagai ADUN.

"Tidak seperti ADUN Changkat Jering dan Behrang, mereka buat bantahan mengenai kedudukan mereka yang dikatakan kosong seperti yang dimaklumkan Speker DUN Perak," katanya.

Mengenai sama ada lebih banyak anggota keselamatan akan ditugaskan di Bukit Gantang berikutan situasi politik yang berlaku di Perak ketika ini, Abdul Aziz berkata perkara itu terletak dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata SPR bersetuju untuk menubuhkan tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya yang akan bertanggungjawab memantau aktiviti kempen dan pemasangan bahan kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen dari 29 Mac hingga hari pengundian.

"Setiap pasukan akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa serta dianggotai oleh seorang pegawai polis, seorang wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakilwakil calon yang bertanding," katanya.

Sumber: mSTAR


No comments: