Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, February 23, 2009

KENYATAAN MEDIA AMK: SPRM LEMBU UMNO-BN

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Malaysia

22 Feb 2009

SPRM LEMBU UMNO-BN!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak selektif mengumumkan bakal mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim atas tuduhan penyalahgunaan kuasa beliau dalam urusan penyelenggaraan kenderaan peribadi beliau dan juga pengagihan lembu korban oleh PKNS di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Ahmad Said Hamdan jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa beliau yang secara terang menunjukkan pelanggaran Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan kuasa mendakwa hanya kepada Jabatan Peguam Negara.

Tindakan beliau juga kelihatan selari dengan usaha jahat dan terancang oleh Umno-BN yang mahu mengganggu gugat kestabilan kerajaan Negeri Selangor khususnya dalam keadaan tampuk pemerintahan negara bakal diambil alih oleh Najib Tun Razak.

AMK ingin mempersoalkan profesionalisme SPRM dalam mengendalikan siasatan kes-kes rasuah, khususnya yang dibuat oleh AMK sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Laporan membabitkan penyelewengan kes pembelian Eurocopter; kes rasuah mantan MB Selangor Khir Toyo; laporan penyelewengan wang kerajaan oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti didedahkan oleh Laporan Audit Negara; laporan lesapnya wang kerajaan melalui anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu; laporan mengenai akuan bersumpah Ketua Bahagian keADILan Ipoh Barat, Fauzi Muda mengenai usaha Najib membeli ADUN-ADUN PR di Perak; laporan campurtangan PM yang didedahkan oleh Datuk Raymond Tan di dalam kes membabitkan Datuk Seri Yong Teck Lee; dan puluhan lagi laporan rasuah dan salahguna kuasa yang dikemukakan oleh AMK, kesemuanya dibakulsampahkan oleh SPRM.

Tindakan jijik ini pastinya tidak boleh menutup mata rakyat, dalam keadaan SPRM kini ibarat lembu dicucuk hidung oleh Umno-BN. Kehilangan berbillion-billion wang rakyat diabaikan, sebaliknya laporan yang tiada asas yang dikemukakan oleh Umno-BN melalui NGO-NGO yang pro-Umno didahulukan seolah-olah ia dosa yang telah terbukti besar.

AMK melihat SPRM sudah hilang nilai profesionalismenya. Justeru, AMK akan menggerakkan jentera AMK sepenuhnya untuk menerangkan kepada rakyat pencabulan kuasa dan hak yang dilakukan sewenangnya oleh Umno-BN melalui SPRM.

AMK juga akan melakukan 'kunjungan hormat' ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menghadiahkan beliau seekor lembu sebagai signifikan kepada peranan SPRM yang semakin tunduk di kawal Umno-BN.

AMK percaya bahawa rakyat tidak mudah diperbodohkan dengan siri-siri pembodohan rakyat yang sedang giat dilakukan oleh Umno-BN.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia



No comments: