Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, February 23, 2009

'Ini manusia tak boleh digertak,' kata Khalid Ibrahim - Malaysiakini

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya menggunakan wang kerajaan untuk penyelenggaraan kereta miliknya sebagai "satu gertakan".

"Saya guna kereta saya (untuk keperluan peribadi), kerajaan negeri tak payah bayar (penyelenggaraan).

"Ini manusia tak boleh digertak," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 5,000 hadirin di majlis makan malam ulang tahun pertama kemenangan Pakatan Rakyat, di padang berdepan dengan bangunan Amcorp Mall, Petaling Jaya, malam tadi.

Majlis anjuran PKR Selangor dan Kuala Lumpur turut dihadiri perwakilan asing termasuk daripada Australia dan India yang bertujuan untuk mengutip dana parti.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Syed Husin Ali; Naib Presiden Azmin Ali dan Sivarasa Rasiaha; Ketua Penerangan, Tian Chua (Ketua Penerangan) serta kepimpinan PKR negeri.

Sebelum ini menteri besar Selangor itu didakwa menggunakan wang kerajaan untuk menyelenggara kereta peribadinya.

Susulan itu, Gerakan Anti-Korupsi (Gerak) dan Pemuda Umno, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan beliau menyalahgunakan wang kerajaan negeri.

Semalam dilaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, terdapat bukti-bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut.

'BN cemburu'

Khalid yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut didakwa menyalahgunakan wang kerajaan untuk membeli 46 ekor lembu untuk diagih-agihkan kepada surau dan masjid di parlimen tersebut.

Mengulas dakwaan tersebut, beliau menyifatkan BN cemburu dan dengki dengan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang mentadbir dengan baik dengan program merakyatkan ekonomi rakyat.

"Pentadbiran PR lebih baik BN yang sudah memerintah negara selama 51 tahun. Kita bekerja dengan baik daripada meraka (BN). Kita lebih baik daripada mereka," katanya.

Katanya, BN hanya bermimpi untuk menguasai Selangor kerana mimpi mereka itu "hanya satu igauan atau tinggal mimpi sahaja".

Ini kerana, tambah Khalid, kerajaan Pakatan telah mantap di Selangor dan tidak boleh dipecahkan.
"Sokongan rakyat jelas kepada Pakatan Rakyat kerana pengurusan yang cekap, telus dan bertanggunjawab. Rakyat tahu siapa yang lebih baik (mentadbir)," katanya.

Beliau juga menyifatkan pemimpin BN sudah kehabisan dan kekeringan idea kerana cuba meniru Selangor sewaktu mengisytiharkan slogan "merakyatkan pembangunan di Terengganu" sewaktu pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu akhir bulan lalu.

'Pancing Adun PKR'

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersama dengan pemimpin Pakatan tidak akan menyerah kalah dengan serangan dan gangguan daripada kerajaan BN.

"Kamu boleh mengganggu kami, tetapi tidak sesekali untuk kami mengaku kalah," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Dalam majlis tersebut, Anwar yang ketua pembangkang menjelaskan ugutan, gangguan dan tawaran BN untuk memancing Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Lim Soo Nee untuk melompat ke parti tersebut.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang berucap kira-kira 30 minit, turut mendakwa SPRM 'memilih bulu' dalam menyiasat dakwaan rasuah yang dilaporkan kepada meraka.

Beliau mendakwa tiada siasatan lanjutan terhadap penerimaan komisen pembelian kapal selam yang didakwanya membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan siasatan terhadap bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Sebaliknya, kata beliau, SPRM segera mengambil tindakan terhadap Khalid Ibrahim yang didakwa menggunakan wang kerajaan Selangor untuk membeli 46 ekor lembu untuk diserahkan kepada penduduk di Bandar Tun Razak.

Semalam, Pengerusi SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan mendakwa suruhanjaya itu, mempunyai bukti yang kukuh bahawa menteri besar Selangor menyelewang wang kerajaan negeri.


Tayangan video

"Apa ingat rakyat ini lembu?" kata Anwar - yang memakai baju batik merah - dengan nada marah.

Dalam majlis itu juga, Anwar turut menempelak BN yang mengamalkan 'politik menculik' dua orang wakil rakyat PKR - Jamaluddin (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) - untuk membolehkan mereka merampas kerajaan Perak pimpinan Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

"Sekiranya percaya dengan mahkamah, jangan cuba berselindung di belakang istana.

"Serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan, siapa yang berhak memerintah negeri Perak," katanya.

Mengulas lanjut perkara tersebut, beliau menempelak Umno dan BN yang menjuarai untuk bercakap soal moral.

"Poorah!... Bagi wakil rakyat yang menipu rakyat, ingat hari ini kamu selamat, (suatu hari) nanti rakyat akan tanam dan kuburkan kamu," katanya dengan nada marah.

Sementara itu, majlis makan itu turut diserikan dengan tarian kebudayaan Melayu, Cina dan India oleh penari-penari Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), persembahan orkestra dan nyanyian lagu kantonis oleh seorang penyanyi Melayu.

Penganjur juga turut memasang tiga layar putih berukuran 3x3 meter untuk tayang video '308: Tsunami' yang antara lain memaparkan gambar lautan perhimpunan 'Protes' yang berlangsung November dua tahun lalu serta visual rakaman video V K Lingam.

Karpal bidas Ahmad Said

Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh membidas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang secara terbuka mendedahkan terdapat "bukti dan keterangan kukuh" terhadap menteri besar Selangor, sebelum mendapat kebenaran Peguam Negara.

Menurut Bernama, Karpal, yang juga seorang peguam kanan dan anggota Parlimen Bukit Gelugor menyifatkan KAhmad Said sebagai tidak kompeten untuk menyiasat kes itu.

Katanya beliau akan merujukkan Ahmad Said kepada Seksyen 58 Akta SPRM 2009 yang menyatakan pendakwaan bagi kesalahan di bawah akta itu tidak boleh dilaksanakan, kecuali melalui atau dengan kebenaran pendakwaraya.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Green Hall di Pulau Pinang hari ini, Karpal berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa.


Sumber: Malaysiakini






2 comments:

Anonymous said...

Salam AMK Melaka,

Dari segi intergeriti kakitangan awam, memang nampaklah Pengerusi SPRM telah terjejas. Sebenarnya dalam skop kakitangan awam sebarang Board Of Enquire tidak boleh didedahkan kepada awam sebelum pelaksanaan apa-apa tindakan dijalankan. Bagi Tan Sri Khalid Ibrahim seharusnya boleh mengambil tindakan "reverse charge" kepada Pengerusi SPRM. Ramai peguam-peguam PKR yang hebat. Sekadar pandangan...

AMK Melaka said...

Salam Awan Biru,

Terima kasih kerana memberi pendapat dan pandangan yang ikhlas. Sekurang-kurangnya sdr/sdri peka dengan perkembangan politik Malaysia akhir-akhir ini dan sdr/sdri juga berani utk memberi pendapat.