Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, February 10, 2009

Perutusan Takziah atas Pemergian En Sim Mok Yu

Kenyataan Media
9 Februari 2009

Perutusan Takziah atas Pemergian En Sim Mok Yu

Saya mewakili seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat merasa sedih di atas pemergian seorang tokoh pejuang pendidikan Cina tanahair En Sim Mok Yu pada 5 Februari 2000. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga beliau.

Sepanjang hayat beliau, mendiang Sim, beliau telah memperjuangkan agar layanan saksama diberikan kepada pendidikan Cina. Beliau tidak pernah patah semangat walaupun pernah ditahan dan diseksa ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1987.

Setelah dibebaskan, Sim terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam perjuangan bahasa ibunda dengan memegang jawatan Penasihat Umum Dong Jiao Zong. Beliau juga mengecam politik perkauman dan dasar kerajaan Barisan Nasional yang tidak adil dan tidak demokratik.

Hubungan mendiang Sim dengan Parti Keadilan Rakyat mula terjalin apabila beliau menghadiahkan tulisan kaligrafi beliau sendiri yang tertera nama parti sempena penubuhan Parti Keadilan Rakyat.

Beliau juga pernah menghadiahkan tulisan kaligrafi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan beliau ke Melaka pada tahun 2007 bagi merakamkan harapan terhadap Ketua Pembangkang agar menghapuskan politik perkauman dan membina masyarakat saksama.

Sesungguhnya mendiang Sim adalah seorang yang berani bukan sahaja memperjuangkan hak bahasa ibunda, akan tetapi tetap cekal melawan kezaliman kuasa pemerintah. Semangat perjuangan beliau pasti menjadi iktibar buat golongan muda untuk memperjuangkan sistem pendidikan saksama dan masyarakat demokrasi.

(tamat)


DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden Parti Keadilan Rakyat

No comments: