Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, October 31, 2008

Makan Malam bersama Prof John Voll dan Dr Munawar Anees

Semalam saya dan Azizah bertuah kerana menerima kehadiran tetamu-tetamu yang istimewa. Selain kehadiran dua sahabat lama iaitu Profesor John Voll dan Dr. Munawar Anees, kami juga menerima kunjungan 31 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Majlis Tertinggi bagi membincangkan agenda perubahan yang perlu dilaksanakan serta upaya bagi memperhebat serta memperkasakan parti.

Acara dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, makan malam dan kemudiannya disusuli dengan rumusan padat oleh John Voll. Sahabat saya yang sama-sama mengajar di Universiti Georgetown ini merupakan pakar dalam sejarah Islam dan di antara penggerak utama dialog peradaban. Mauduk perbincangan beliau sekitar peranan Islam dan Demokrasi terutamanya di rantau ini; yang terkenal dengan kemajmukan budaya mahupun agama. Oleh itu amat penting, pada pendapat beliau, wujudnya sebuah parti ataupun pergerakan politik yang mendakap serta memperjuangkan prinsip-prinsip demokratik, untuk menjadi tanding kepada faham ekstrem di negara ini.

Sahabat lama saya yang dizalimi 10 tahun lalu, Dr Munawar Anees, kini kembali untuk menuntut keadilan yang dinafikan oleh pemerintah. Di samping berkongsi pengalaman perit sewaktu ditahan; beliau menekankan betapa kebebasan dan keadilan merupakan dua konsepsi sekaligus realiti yang saling bergantungan. Tidak wujud keadilan jika tiadanya kebebasan, begitu juga sebaliknya. Saya kira penting untuk kita merenungi saranan Munawar, bahawa sifat rendah hati merupakan lawan ampuh menentang kezaliman, yang mengingatkan saya kepada petikan dari puisi T.S Elliot yang berjudul East Coker; “The only wisdom we can hope to acquire Is the wisdom of humility: humility is endless.”

ANWAR IBRAHIM

No comments: