Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, October 22, 2008

Perak kesan sindiket jual tanah kerajaan secara haram

IPOH: Kerajaan negeri Perak mengesan kegiatan beberapa sindiket yang menjual tanah kerajaan secara haram bagi tujuan pertanian di daerah Batang Padang dan Manjung dengan harga antara RM500 dan RM5,000 seekar. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam, Nga Kor Ming berkata kegiatan itu dikesan sejak beberapa bulan lepas dan tidak kurang 10 mangsa dipercayai telah terpedaya.

"Kita harap mangsa membuat laporan polis serta membuat aduan kepada kerajaan negeri supaya siasatan dapat dijalankan bagi mengenal pasti dalang terbabit dan tindakan dilakukan bagi mencegah kegiatan berterusan... kita tahu mereka kena tipu dan ada yang malu untuk tampil," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Nga berkata Pejabat Tanah Daerah juga diarah menjalankan operasi untuk memeriksa dan mengambil tindakan terhadap beberapa pihak yang telah menerokai tanah kerajaan secara haram selepas diperdayai sindiket terbabit.

Beliau berkata sindiket terbabit memperdayakan mangsa dengan meyakinkan mereka bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebuah kerajaan "prihatin" dan tidak akan mengambil tindakan kepada peneroka tanah kerajaan.

"Mereka memberi mesej konon kerajaan sekarang akan mengurniakan tanah yang diterokai itu dengan hanya mengenakan denda atau penalti sahaja... kita ingin memberi amaran jangan melanggar undangundang kerana kerajaan negeri tidak membenarkan tanah diterokai secara haram," tegasnya.

Nga berkata mereka yang menerokai tanah kerajaan secara haram boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih setahun atau keduaduanya sekali.

"Kita membuat sidang akhbar ini supaya orang ramai tidak lagi terpedaya dengan kegiatan licik sindiket-sindiket ini. Mereka turut menggunakan nama beberapa exco bagi tujuan menipu mangsa," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan negeri Mohd Zainuddin Mohd Yusof yang turut sama dalam sidang akhbar itu, mengingatkan orang ramai bahawa isu penerokaan tanah kerajaan secara haram merupakan masalah yang serius.

"Isu ini bukan setakat terokai tanah sahaja tetapi perbuatan itu menimbulkan masalah yang lebih besar kerana ia menganggu hutan simpan dan kawasan tadahan air. Ia menganggu ekologi dan menyebabkan pelbagai masalah seperti banjir. Mana boleh ganggu hutan sesuka hati," katanya.

Beliau berkata semua kawasan di Perak telah dirancang pembangunannya dengan pelan struktur yang menyediakan zon pembangunan yang telah dikenal pasti. BERNAMA

Sumber: mSTAR

No comments: