Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, October 14, 2008

Mencari pengasas 'teori Rahman'

Rancangan penyerahan kuasa Umno kepada Datuk Seri Najib Razak akan melengkapkan "teori Rahman" yang dianggap satu kaedah menjelaskan usaha mencari bakal perdana menteri Malaysia.

Sekurang-kurangnya sejak 20 tahun lalu, tokoh atasan Umno termasuk mereka yang berusaha mencapainya berharap keberkatan teori ini membawa tuah kepadanya atau pemimpin pilihan mereka.

Suatu waktu dahulu penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap A pada "teori" yang diambil pada nama perdana menteri pertama itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj melengkapkan sebahagian misteri peralihan pucuk pimpinan negara.

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tidak jelas sejak bila teori ini mula-mula dikemukakan dan siapakah yang memperkenalkannya sehingga berjaya menangkap khayalan peminat tegar politik negara ini.

Malaysiakini menghubungi tiga penulis politik Melayu berpengalaman dan tersohor untuk mencungkil asal-usul mitos moden ini – mungkin boleh dianggap satu-satunya "teori" yang paling tepat untuk menjadi nujum politik Melayu, setidak-tidaknya untuk melihat siapa pemimpin nombor satu Umno.

Pengamat-pengamat politik itu bagaimanapun semuanya tidak dapat mengesan tarikh tepat ia mula diperkenalkan tetapi umumnya bersetuju ia muncul pada zaman 1980-an, awal pentadbiran perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun mereka sepakat hanya satu nama dalam urutan teori itu, yang asalnya diramal jatuh kepada Anwar, tidak menjadi kenyataan.

Ketua pengarang mingguan Siasah, Mohd Sayuti Omar percaya teori Rahman mula-mula dikemukakan oleh penulis politik Ikhwan Nasir dalam tabloid Mingguan Tanah Air pada pertengahan dekad itu.

"Boleh jadi juga beliau (Ikhwan) yang memulakannya. Beliau memang suka menggunakan akronim seperti 'jubir' bagi jurubicara rakyat dan 'kadun' bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya, yang pernah menulis untuk tabloid itu.

Ikhwan, juga bekas ahli parlimen Pontian dan juga bekas setiausaha politik Tun Musa Hitam, pemilik akhbar politik yang diterbitkan oleh syarikatnya SIR Sdn Bhd.

Teori itu, menurut Mohd Sayuti yang mengenali secara peribadi Ikhwan, sangat berpengaruh pada waktu itu sehingga ada tokoh politik terkenal mempercayainya.

"(Bekas menteri besar Kedah) Tan Sri Sanusi Junid pernah memberitahu saya, nama beliau sebenarnya bermula dengan Mohamad," katanya merujuk kepada huruf M pada nama Rahman.

Terdapat juga buku politik karya Abd Bashid Harun mengupas teori itu pada pertengahan 1990-an, jelas Mohd Sayuti.

Melalui blognya, Abd Bashid mendakwa beliau pertama kali menulis tentang "teori Rahman" di Mingguan Tanah Air sewaktu Umno sedang bergolak antara kumpulan pro-Tengku Razaleigh Hamzah bersama Musa melawan DR Mahathir menjelang pemilihan parti itu 24 April 1987.

"Dalam kesibukan berkempen dan melobi dalam perhimpunan agung Umno itu timbullah suara-suara di kalangan perwakilan bahawa baik Tengku Razaleigh ataupun Musa, mereka tidak akan menjadi perdana menteri.

"(Tanggapan) ini semacam satu takdir yang ditetapkan untuk mereka berdua. Sebahagiannya pula menganggap pertandingan melawan Dr Mahathir itu sia-sia sahaja.

"Alasan mereka ialah nama Razaleigh dan Musa tidak termasuk dalam susunan nama Rahman itu.

"Maka bermula dari situlah bermulanya teori Rahman," tulisnya pada 10 Oktober lalu, dua hari selepas presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk bersara pada Mac tahun depan.

Menurut Abd Bashid - seorang guru di Simpang, Taiping - tulisannya menghuraikan secara terperinci maksud "teori Rahman", termasuk "mengupas agak mendalam tentang kedudukan Abdullah dan Anwar sebagai bakal perdana menteri."

Artikelnya itu, kata Abd Bashid, kemudian diulas oleh lidah pengarang akhbar tersebut yang memetiknya sebagai "penulis dari Semanggol (Perak)" memaklumkan bahawa "hanya ada seorang sahaja dari Pulau Pinang yang akan berjaya menjadi perdana menteri. Orang itu ialah Pak Lah."

Penulis kolum veteran Subky Latiff pula berkata, teori itu mula-mula dikemukakan oleh ahli parlimen Kepala Batas sebelum Abdullah, Saupi Ibrahim.

"Seingat saya, Saupi yang mula-mula tulis. Lebih kurang 20 tahun dulu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tulisan yang dihasilkan oleh bekas duta itu dalam umur persaraannya, kata pemimpin PAS dan penulis kolum Harakah itu, diterbitkan di sebuah akhbar harian dengan gaya popular.

Ditanya kenapa idea itu mendapat perhatian rakyat Malaysia, beliau berkata: "Ia menarik. Sedap (dijadikan) hujah."

Sementara penulis buku-buku politik terkenal Syed Hussein Alattas mendakwa teori ini muncul pada awal 1990-an.

Beliau bagaimanapun tidak pasti siapakah yang memulakannya.

Menurutnya, teori itu rancak diperkatakan pada 1990-an apabila Anwar, yang timbalan perdana menteri, dijangkakan menjadi menggantikan Dr Mahathir.

"Tetapi akhirnya A itu untuk Abdullah," katanya.

Ketiga-tiga mereka percaya teori Rahman "terjadi secara kebetulan" sahaja dan tiada asas ketekalan untuk diyakini bulat-bulat.

Namun ia berjaya mempengaruhi orang Melayu termasuk pemimpin politik yang "kuat percaya kepada mitos," kata Mohd Sayuti.

"Ia memberikan kesan psikologi, mempengaruhi 20-30 peratus perkembangan politik negara. Kalau selalu diulang-ulang, jadi (kenyataan).

"Tetapi kita tidak boleh percaya seratus peratus."

Syed Hussein, juga popular dipanggil Pak Habib, berkata "teori ini tidak logik."

Seperti banyak pihak lain, Subky pula mempertikaikan asas penyusunan huruf pertama pada nama-nama pemimpin yang dikatakan memenuhi urutan Rahman.

Katanya, bagi perdana menteri pertama, "teori" ini membuang nama awal Abdul untuk menjadikannya sebagai Rahman sahaja, sedangkan tokoh seterusnya menggunakan nama Abdul.

"Secara popular, perdana menteri pertama disebut penuh sebagai Tunku Abdul Rahman, sedangkan perdana menteri kedua lebih dikenali Tun Razak (tanpa Abdul)," katanya, seorang wartawan berpengalaman sebelum menyertai PAS.

Bakal perdana menteri yang menduduki huruf keenam dalam "teori Rahman" bermula dengan nama "Mohd Najib" tetapi nama awalnya tidak diambil kira dalam teori popular itu.

Sumber: Malaysiakini

No comments: