Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, October 14, 2008

Pakatan Rakyat sedia kerjasama bantu pulih ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Hrkh) - Ketua Pembangkang Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim (KeADILan-Permatang Pauh) menegaskan bahawa Pakatan Rakyat bersedia untuk menghulurkan bantuan serta berkerjasama bagi memulihkan situasi ekonomi yang kian meruncing.

Disebabkan itu katanya, Menteri Kewangan perlu membentangkan semula Belanjawan Negara bagi tahun 2009 dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

"Kita minta agar menteri kewangan kembali membentangkan semula fakta baru mengenai keadaan semasa kewangan negara dengan perkembangan terkini ekonomi negara," katanya pada sidang media di lobi parlimen semasa perbahasan Belanjawan 2009 semalam.

Beliau bersama pimpinan Pakatan Rakyat yang lain juga bersedia untuk menghulurkan bantuan serta berkerjasama bagi memulihkan situasi ekonomi yang kian meruncing.

"Mereka (kerajaan Umno-BN) perlu mengendalikan masalah ini dengan betul dan serius, dan kita kena bekerjasama untuk menyelamatkan negara ini.

"Sebab itu kita mencadangkan agar wujud perbincangan dengan Pakatan Rakyat kepada kerajaan, tetapi mereka menolaknya - tidak sebagaimna yang berlaku di negara Amerika bila mana parti demokrat dan republik berganding bahu menyelesaikan krisis ekonomi yang melanda negara mereka," katanya lagi.

Malah, beliau berulang kali menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak boleh menggunakan bajet yang telah ketinggalan faktanya selama satu setengah bulan yang lalu.

"Saya telah merayunya (PM) dalam ucapan perbahasan sebentar tadi untuk melakukan perubahan jika tidak kerajaan akan menjadi bertambah parah," ujarnya.

Tambahnya, belanjawan yang dibentangkan tidak boleh diteruskan kerana dari segi angka pendapatan negara kini telah berbeza besar dengan unjuran harga minyak berjumlah USD125 yang sekarang ini telah turun kepada USD77, manakala harga kelapa sawit sebelum ini RM1400 sekarang RM 1700.

"Ini ada kesan pendapatan, perbelanjaan, defisit, jadi saya mintak menteri kewangan kaji semula ataupun membuat revision kepada belanjawan.

"Ini tidak, menteri tiada, timbalan menteri tiada, tiada wakil kerajaan yang boleh respon - ini belum pernah saya saksikan dahulu - maknanya dalam keadaan negara kini berdepan dengan krisis ekonomi, kerajaan yang ada tidak mempedulilkannya," katanya lagi.

Ketua Umum KeADILan itu juga menyatakan apa yang berlaku ini merupakan cerminan kegagalan Menteri Kewangan yang baru dilantik oleh Perdana Menteri.

"Di sebalik kegagalan menteri kewangan yang baru, saya dapati sikap beliau ambil dalam meneliti isu ekonomi, beliau lebih sibuk meluluskan projek-projek mega termasuklah projek broadband, maybank, dan skandal terbaru pembelian eurocopter.

"Jadi, kita minta supaya ditangguhkan supaya boleh kita teliti semula belanjawan.

"Kerajaan manapun yang bertanggungjawab akan mengambil sikap untuk menangguhkannya atau membentangkan suatu fakta atau angka yang baru seiring dengan perkembangan semasa," tegasnya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana menteri mengulas kenyataan Abdullah sebelum ini yang telah mencadangkan agar defisit negara diturunkan daripada 4.8 kepada 3.7 dalam pembentangan belanjawan pada 1 September lalu.

"Sedangkan ianya tidak akan (mustahil) berlaku," katanya lagi.

Anwar juga menyatakan kehairanan sekiranya ada ahli parlimen yang boleh bersetuju untuk menerima belanjawan yang telah 'out dated' tersebut.

"Saya tidak nampak hujah atau alasan mana-mana ahli parlimen yang memahami tanggungjawab dan amanah mandat yang diberikan rakyat untuk menerima belanjawan yang tidak mencerminkan tanggungjawab tersebut boleh dilaksanakan," katanya. - mks._

Sumber:
HarakahDaily

No comments: