Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, October 8, 2008

Perak mungkin 'rampas' tapak kem tahanan ISA

Kerajaan negeri Perak mungkin mengambil langkah perundangan tidak lama lagi untuk mengambil balik tapak Kem Tahanan (Kemta) di Kamunting yang menempatkan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mungkin diminta mengambil balik tanah milik kerajaan negeri itu yang menempatkan Kemta tersebut dan sekaligus memaksa kerajaan pusat di Putrajaya memindahkannya ke tempat lain.

Ahli Exco kerajaan Perak, A Sivanesan berkata, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut dalam mesyuarat exco supaya kerajaan negeri mengambil balik tapak yang menempatkan Kemta sejak kira-kira 40 tahun lalu.

Ia dijadikan tapak pusat tahanan tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan BN, sebelum Akta Pengambilan Tanah dikuatkuasakan.

Perak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum Mac lalu. Selama ini, ketiga-tiga parti komponen Pakatan - PKR, PAS dan DAP - mengecam ISA yang memboleh seseorang itu ditahan tanpa bicara.

Sivanesan berkata, memandangkan Pakatan mengecam ISA, maka adalah munasabah jika kerajaan negeri mahu Kemta itu dikeluarkan dari negeri tersebut.

"Jika Barisan Nasional mahu menyimpan kem tesebut sebagai harta karunnya, maka pindahkanlah kem tesebut ke kawasan dalam bidang kuasanya di Johor atau Pahang, supaya Kemta jauh dari pandangan kami.

"Saya pasti semua rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan, terutama pemimpin dan penyokong Pakatan di seluruh negara, pastinya menyokong cadangan tersebut," katanya.

Menurut Sivanesan, kerajaan negeri boleh, melalui undang-undang, mengambil balik tapak tersebut dan meruntuhkan Kemta, untuk membina rumah, hospital dan sekolah di situ.

Dengan itu, katanya, kerajaan negeri Perak dan Pakatan boleh membuktikan yang mereka tidak mahu ada kena mengena dengan penguatkuasan undang-undang tersebut.

Sumber:
Malaysiakini

No comments: