Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, August 14, 2008

Arif Shah taruhan BN di Permatang Pauh


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemilihan Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Arif Shah, Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, taruhan terbaru BN berdepan PKR setelah gagal tiga kali dengan dua calonnya sejak pilihanraya umum 1999 (lihat carta).

Kali ini calon BN itu akan berdepan dengan tokoh besar parti pembangkang itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.Hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Ogos ini.

Najib membuat pengumuman itu di Pusat Konvensyen Karnival Sunway di Seberang Jaya malam ini, serentak dengan majlis pelancaran jentera pilihanraya BN bagi pilihanraya kecil tersebut.

Sebelum ini beberapa nama disebut-sebut bakal dipilih sebagai calon BN, termasuk Ketua Umno Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, timbalannya, Datuk Pirdaus Ismail dan pendakwah bebas, Datuk Shamsuri Ahmad.

Ketika namanya diumumkan sebagai calon, Arif, yang duduk di barisan belakang di pentas utama, bangun dari kerusinya lalu menerpa ke arah Abdul Jalil yang duduk sebaris dengan Najib di hadapannya, lalu memeluk beliau sambil menitiskan air mata.

Berpelukan

Selepas itu, Pirdaus dilihat mara ke arahnya dan turut memeluk beliau sebelum Ariff mengangkat tangan Abdul Jalil dan Pirdaus sebagai tanda bekerjasama dan persefahaman antara mereka. Majlis tersebut dihadiri oleh penyokong BN, termasuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai, Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad dan wakil dari MIC dan PPP.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor.

Dalam ucapannya, Najib menyentuh tentang dakwaan penasihat PKR bahawa lebih 30 ahli Parlimen BN akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September depan.
Katanya, beliau tidak nampak kemungkinan ianya akan berlaku yang akan memboleh Pakatan mengambil alih kerajaan.

Beliau juga berkata, Anwar tergesa-gesa untuk bertanding dalam pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh kerana hendak menubuhkan kerajaan dan menjadi perdana menteri.

'Lompat parti'

"Saya tak dengar ahli Parlimen nak lompat, macam katak. Nak cari 30 ekor katak dalam masa sebulan, yang sanggup melompat masuk Pakatan Rakyat daripada BN, saya tak nampak akan berlaku," katanya.

Menurut Najib lagi, beliau tidak akan menyentuh soal peribadi Anwar kerana ia bukan soal BN.

Baru-baru ini, Anwar dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, Najib berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan akan berlaku proses mahkamah yang adil dan saksama.

Pilihanraya kecil diadakan selepas penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga presiden PKR, meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen kawasan itu bagi memberi laluan kepada suaminya Anwar. Arif Shah dipercayai berdepan jalan sukar untuk menang di kerusi itu walaupun ada kemungkinan besar majoriti PKR sebanyak 13,388 undi dalam pilihanraya umum Mac lalu dapat dikurangkan.

Harapan Arif

Sementara itu, Bernama melaporkan, Arif mensasarkan dua agenda utama untuk penduduk di kawasan itu sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat mereka pada pilihanraya kecil 26 Ogos ini. Katanya, usaha untuk meningkatkan perpaduan semua kaum di Permatang Pauh menjadi agenda utamanya selain mencari jalan untuk mengatasi masalah kemiskinan penduduk di kawasan parlimen itu.

Menurutnya, penduduk di Permatang Pauh seolah-olah terkena sumpahan sejak kerusi parlimen itu jatuh kepada pembangkang pada 1999 dengan tiada sebarang pembangunan dapat dizahirkan di situ manakala tidak ada perhubungan akrab terjalin antara penduduk di situ dengan wakil rakyat mereka.

"Sudah sampai masanya kita menebus balik sumpahan ke atas Permatang Pauh dengan memberi peluang kepada saya sebagai kuli untuk berkhidmat kepada rakyat supaya Permatang Pauh kembali bersinar dan masalah-masalah yang sedang dihadapi akan dapat diatasi," katanya kepada pemberita.

Ketika ditanya peluangnya berhadapan dengan Penasihat PKR, Ariff Shah, 52, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh ketika Anwar menerajui Umno bahagian itu, melaungkan keyakinan mampu merampas kembali kerusi parlimen tersebut hasil sokongan padu semua kaum di situ walaupun dengan majoriti yang tidak besar.

Arif Shah juga yakin dapat memikul tanggungjawabnya sebagai Adun Seberang Jaya dengan baik sekiranya terpilih sebagai ahli parlimen Permatang Pauh.

'Tiada dendam'

"Ketika ini ramai wakil rakyat yang memegang jawatan sebagai Adun dan ahli parlimen. Saya rasa tidak ada masalah untuk saya memberi khidmat terbaik kepada penduduk di dua-dua kawasan itu," katanya.

Arif Shah mula terpilih sebagai ADUN Seberang Jaya pada pilihanraya umum 2004 setelah mengalahkan calon PKR Dr Mansor Othman dengan majoriti 4,464 undi.Dalam pilihanraya umum Mac lalu beliau mengekalkan kerusi DUN itu untuk penggal kedua setelah menewaskan calon PKR Ramli Bulat dengan majoriti 533 undi.

Ketika ditanya kemungkinan penyokong dan calon BN yang tidak terpilih akan mensabotaj beliau pada pilihanraya kecil nanti, Ariff Shah berkata:

"Saya percaya semua di Permatang Pauh akan membantu saya dan saya tidak menyimpan dendam kepada sesiapa".

Sumber: Malaysiakini

No comments: