Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, August 29, 2008

Peralihan kuasa satu perancangan, bukan jaminan

Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu perancangan dan bukannya satu jaminan.

"Tiada jaminan (peralihan kuasa akan berlaku) sebab macam-macam perkara boleh berlaku antara sekarang hingga 2010 nanti.

"Banyak perkara yang akan berlaku di luar kawalan sepanjang tempoh ini," katanya kepada pemberita hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau yang juga exco Pemuda Umno ditemui di majlis pelancaran kempen derma darah menjelang Ramadan anjuran Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) di ibunegara hari ini. Beliau adalah presiden Ansara.

Mesyuarat Umno di peringkat cawangan sedang berjalan. Manakala mesyuarat peringkat bahagian akan bermula Oktober ini. Perhimpunan agung untuk memilih pucuk pimpinan parti akan berlangsung Disember depan.

Sebelum ini, Abdullah telah mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Najib pada pertengahan tahun 2010.

Ekoran itu, beliau akan mengekalkan jawatanya sebagai presiden Umno tanpa bertanding, begitu dengan Najib bagi jawatan timbalan presiden.Pengumuman Abdullah mengenai peralihan kuasa itu adalah ekoran tekanan hebat di peringkat akar umbi Umno yang menyalahkan beliau ekoran kekalahan teruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Malah, terdapat pihak dalam Umno sendiri yang menggesa beliau supaya berundur dan menyerahkan kuasa kepada Najib.

Kehadiran Anwar

Dalam pilihanraya umum itu, Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno, walaupun kembali berkuasa, tetapi gagal menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN menang 140 kerusi Parlimen manakala Pakatan menang 82 kerusi. Umno juga tewas 30 kerusi Parlimen. Dalam pilihanraya 2004, Umno menang 109 kerusi Parlimen.

BN turut tumbang di tangan barisan pembangkang - Pakatan Rakyat - di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. PAS pula berjaya mengekalkan pentadbirannya di Kelantan dengan tambahan kerusi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehadiran Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, Mukhriz berkata, ia tidak akan menjejaskan BN.

Katanya semua ahli Parlimen BN sedia untuk berbahas dengan Anwar walaupun diakui beliau memang hebat berhujah.

"Lazimnya hanya 20 peratus yang dikatakannya (Anwar) fakta dan selebihnya retorik semata-mata dan BN akan menangkis hujah-hujahnya dengan fakta dan pendekatan rasional," katanya.

Mukhriz juga berkata BN tidak terkejut dengan kemenangan Anwar, malah menerimanya sebagai sebahagian proses demokrasi dalam negara.

Anwar mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam setelah memenangi pilihanraya kecil bagi kerusi Permatang Pauh Selasa lalu. Beliau juga dilantik ketua pembangkang.

Sumber: Malaysiakini

No comments: