Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, August 26, 2008

AMK: Permatang Pauh Manifestasi Kemerdekaan Baru Generasi Muda Malaysia

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
25 Ogos 2008

Permatang Pauh Manifestasi Kemerdekaan Baru Generasi Muda MalaysiaEsok, tanggal 26 Ogos 2008, Permatang Pauh akan menyediakan 2 pilihan untuk generasi muda Malaysia.

Pilihan perlu dibuat, samada untuk terus kekal terbelenggu dalam penjajahan pemikiran hasil doktrinasi perkauman Umno-BN, ataupun merealisasikan harapan baru buat Malaysia ke arah pembudayaan politik madani dan ekonomi manusiawi.

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh bukan medan untuk seorang insan atau sekumpulan manusia. Ia medan yang menyaksikan apakah generasi muda dan rakyat Malaysia hari ini boleh terus digilap untuk menjadi aset kepada negara atau terus kekal diperhambakan pemikiran mereka demi kepentingan politik perkauman sempit.

Memerdekakan Rakyat, demikianlah iltizam KeADILan dan Pakatan Rakyat melalui Ketua Umum KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim yang dicalonkan untuk PRK P44 Permatang Pauh ini.

Ini bersesuaian dengan roh dan semangat Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilaungkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman tatkala beliau mengisytiharkan kemerdekaan tanah air 51 tahun yang lampau, iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik yang berdaulat tanpa mengabaikan hak rakyat berbilang agama dan kaum.

10 tahun yang lampau menyaksikan Deklarasi Permatang Pauh terlahir daripada kebangkitan rakyat lantaran kezaliman yang direncanakan oleh Umno-BN. Komited Deklarasi Permatang Pauh untuk merencanakan agenda pembaharuan politik dan ekonomi terus segar sehingga kini, dan ia perlu diberi 'nafas kebangkitan' untuk bangkit sebagai iltizam rakyat.

PRK P44 Permatang Pauh menyaksikan bagaimana kempen pembunuhan karakter dilancarkan oleh segenap jentera kerajaan ke atas seorang insan bernama Anwar Ibrahim, berbanding mewujudkan wacana segar berkisar soal dasar dan polisi menyelamatkan ekonomi rakyat yang kian parah.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat masa depan Malaysia bakal bergantung kepada keputusan PRK P44 Permatang Pauh esok.

Pengundi muda di Permatang Pauh mewakili suara 11.6 juta generasi muda di Malaysia. Justeru keputusan tepat perlu dibuat demi memerdekakan hak asasi rakyat, memerdekakan ekonomi masyarakat, dan memerdekakan demokrasi negara.

Kemerdekaan negara hanya akan terisi dengan polisi yang segar ke arah merealisasikan ekonomi dan politik yang sihat,dan ini boleh diterjemahkan dengan sokongan dan undi kepada Dato Seri Anwar melalui KeADILan, dan Pakatan Rakyat.

Pengundi muda Permatang Pauh perlu berani menuntut perubahan, demi memerdekakan diri mereka, masyarakat dan negara.

Masanya telah tiba.

Ayuh kita merdekakan Malaysia daripada kepompong perkauman sempit ciptaan Umno-BN!

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: