Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, August 26, 2008

Anwar kembali MP Permatang Pauh, majoriti lebih 15,000

(Dikemas kini, pukul 2210) PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali muncul Ahli Parlimen Permatang Pauh - selepas 'berehat' selama 10 tahun dengan majoriti 15,671 undi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatasi majoriti lebih 13,000 undi yang dicatatkan oleh isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dalam keputusan rasmi diumumkan sebentar tadi, Anwar yang mewakili PKR memperoleh 31,195 undi manakala Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN pula mendapat 15,524 undi dan AKIM menerima 92 undi.

mStar Online difahamkan Anwar telah menang di kebanyakan daripada 28 daerah mengundi.
Keputusan penuh pilihan raya kecil ini diumumkan di Institut Perguruan Tuanku Bainun.


Bagaimanapun ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKR khususnya Pakatan Rakyat telah meraikan kemenangan Anwar sejak pukul 6 petang tadi.

Keputusan tidak rasmi kemenangan Anwar telah diumumkan bermula pukul 6.30 petang tadi di Pusat Operasi Utama PKR di Yayasan Aman, Penanti di sini.

Anwar yang berada di Yayasan Aman sejak petang tadi meninggalkan premis ini ke Institut Perguruan Tuanku Bainun pukul 9.10 malam.

Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar - 69.49 peratus Melayu, Cina 24.56 peratus, India 5.79 peratus dan lain-lain 0.13 peratus.

Kira-kira 15 peratus pemilih merupakan mereka yang tinggal di luar Permatang Pauh.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, 82.06 peratus daripada 58,449 pengundi keluar mengundi.

Pada pilihan raya kecil ini, Arif Shah, 51, menghadapi tentangan Anwar, 61, dan calon AKIM, Hanafi, 61.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Ahli Parlimennya, Presiden PKR, Dr. Wan Azizah pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan itu.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Dr. Wan Azizah mengalahkan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi.

Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihan raya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

Sumber: mSTAR

No comments: