Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, August 29, 2008

Salahuddin akan debat isu Auku di UIA esok

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Hrkh) -Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub akan bertembung dengan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Saifuddin Abdullah dalam dialog mendebatkan beberapa seksyen kontroversi rang pindaan Akta Unversiti dan Kolej Universiti (Auku) yang kini sedang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurut laporan Malaysiakini, dialog membincangkan akta itu akan turut disertai seorang lagi ahli parlimen iaitu Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (KeADILan-Balik Pulau) dan diadakan esok di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Seorang wakil persatuan pelajar Mohd Saifullah Mohd Zulkifli juga akan membentangkan hujahnya di majlis itu yang dimulakan jam 8 malam di auditorium utama universiti itu.

Dialog itu selama 90 minit itu terbuka kepada umum, kata jurucakap penganjurnya Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin hari ini.

Beliau berkata, program itu dianjurkan bertujuan membuka mata lebih ramai pelajar yang tidak mengikut dengan dekat rang undang-undang tersebut.

"Kami fikir ini masa yang sesuai mengadakan forum sebegini kerana parlimen akan membahaskan cadangan pindaan akta ini.

"Kami ingin menunjukkan, mahasiswa bukan kerja berdemonstrasi saja (terhadap AUKU) tetapi juga boleh membincangkan sesuatu secara ilmiah dan tidak partisan,"jelasnya.

Penganjur, tambah Ahmad Fahmi, bercadang merumuskan resolusi mahasiswa berhubung pindaan itu selepas mendengar pandangan tiga ahli parlimen itu dan juga wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

"Kami juga bercadang mengedarkan resolusi kepada semua ahli parlimen supaya mereka menyuarakan pandangan kami di Parlimen," katanya.

Program itu anjuran bersama jawatankuasa tindakan kolej kediaman as-Siddiq dengan kerjasama Kelab Intelektual Muda (IYC) dan sekretariat penyelidikan Persatuan Ekonomi UIA.

Semalam satu persatuan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan perbahasan isu yang sama antara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron dengan Saifudin Nasution (KeADILan-Machang) dan wakil Pemuda PAS, Abdullah Karim.

Kumpulan-kumpulan aktivis mahasiswa, yang membantah Auku selama ini, menganggap rang pindaan itu hanyalah "kosmetik." - mks._

Sumber: HarakahDaily

No comments: