Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, August 24, 2008

Dua exco Perak didakwa Isnin ini

Lima daripada enam orang, termasuk dua exco kerajaan negeri Perak yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah baru-baru ini, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Isnin ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat BPR hari ini, siasatan berhubung kes itu telah selesai.

Sebelum ini, Jamaluddin Mohd Rozi dan Mohd Osman Mohd Jailu - dua orang exco daripada PKR dalam kerajaan campuran tiga parti melibatkan juga DAP dan PAS - ditahan bersama dua ahli perniagaan, seorang ahli Majlis Daerah Perak Tengah dan seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), berhubung dakwaan rasuah membabitkan projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, di selatan Ipoh.

"Bahagian Pendakwaan dan Perundangan BPR berpuas hati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk menuduh lima orang daripada mereka itu di mahkamah," kata kenyataan BPR itu lagi.

Kenyataan itu menyebut BPR sedang menghubungi kesemua yang terbabit supaya hadir ke pejabat BPR Perak pada pagi 25 Ogos dan akan dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan masing-masing.

Justeru, menurut laporan Bernama, BPR berkata tidak timbul soal untuk memohon maaf seperti mana yang dituntut oleh mereka yang berkenaan.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kerajaan negeri Perak memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran penyiaran laporan yang didakwa mencemarkan nama baik dua anggota Exconya.

Jika gagal, katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang dengan meminta ganti rugi daripada pihak terbabit.

Dalam sidang akhbar berasingan, dua exco berkenaan menuntut media yang menyiarkan laporan berhubung kes rasuah itu menyiarkan kenyataan memohon maaf selain membuat penjelasan bagi membersihkan nama mereka dalam tempoh 24 jam.

Sumber: Malaysiakini

No comments: