Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, August 21, 2008

Siapa Menang?!

Isu tanah: Dr Koh serah pada rakyat...

Kontroversi berhubung dakwaan kes penyelewengan tanah di Pulau Pinang sampai ke kemuncaknya apabila Ketua Menteri (KM), Lim Guan Eng dan bekas KM, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berdebat secara terbuka yang turut disiarkan secara langsung malam ini.

Debat bertajuk 'Kisah Benar kontroversi tanah di Pulau Pinang' itu berlangsung selama satu jam.

Lim memulakan debat dengan mendedahkan lima kes 'skandal tanah' yang didakwanya akan mengakibatkan kerugian sehingga RM1.5 bilion kepada kerajaan negeri - yang didakwa berlaku akibat kesilapan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Dr Koh sebelum ini.

Kedua-kedua mereka kemudiannya memfokus perhatian kepada satu kes yang membabitkan pentadbiran sebelumnya berhubung kelulusan satu permohonan bagi 4.25 hektar tanah di daerah Seberang Perai Tengah kepada seorang kontraktor swasta untuk menjalankan aktiviti kuari.

'Kes RM40 juta' itu kini terbabitkan dalam kes mahkamah antara kerajaan negeri dengan seorang kontraktor persendirian.

Lim berkata, dokumen-dokumen menunjukkan bahawa hampir kesemua jabatan-jabatan teknikal menentang keputusan kerajaan untuk menganugerahkan tanah tersebut kepada seorang individu tunggal.

Dr Koh sebaliknya menyalahkan satu kesilapan pentadbiran yang berlaku pada tahun 1960-an dan menegaskan bahawa fokus kerajaan negeri sekarang sepatutnya ialah memenangi kes mahkamah tersebut..

Apabila pengantara debat, Datuk Johan Jaafar bertanya apakah perlunya kontroversi tanah itu dibangkitkan sekarang dan sama ada ianya bertujuan untuk mencari kesalahan orang lain, Dr Koh merebut peluang itu untuk menuduh Lim sengaja mempolitikkan perkara itu untuk menjejaskan kredibiliti pentadbiran sebelumnya.

Kes mahkamah

Sungguhpun dicabar beberapa kali oleh Lim untuk menjawab dakwaan tertentu mengenai apa yang dipanggil "penipuan tanah" di Pulau Pinang, Koh berkata beberapa kes masih didengar di mahkamah dan beliau enggan mengulas mengenainya kerana ia subjudis.

Menurut Koh, pihaknya hanya boleh memberikan jawapan selepas kes berkenaan selesai didengar oleh mahkamah.

Koh juga berkata sepanjang 18 tahun, lebih 10,000 fail tanah berjaya diselesaikan.

"Peratusan pencapaian kerajaan BN menyelesaikan fail tanah di Pulau Pinang ialah 99.9 peratus," katanya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP pula menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri yang baru untuk mendedahkan kesalahan yang dilakukan oleh pentadbiran sebelumnya.

Katanya, ia selaras dengan penubuhan kerajaan negeri yang baru CAT (cekap, bertanggungjawab dan telus) dan ia tidak akan menutup sebarang kesalahan daripada pengetahuan rakyat.

Perdebatan kedua

Lim dan Dr Koh juga berdebat mengenai mengapa kakitangan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap 'kes RM40 juta' itu hanya diberi amaran.

Lim berkata, kakitangan terbabit sepatutnya dikena hukuman yang lebih berat, seperti dipindahkan jabatan.

Dr Koh menjawab, perkara itu telah disiasat secara dalaman dan juga oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) tetapi tiada bukti kukuh ditemui untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa.

Katanya, jika Lim tidak puashati dengan dua siasatan BPR terhadap perkara tersebut, maka ketua menteri itu boleh memulakan satu lagi siasatan.

Ini merupakah perdebatan kedua Dr Koh, yang juga pemangku presiden Gerakan, dengan Lim sejak tahun 1990. Kali pertama mereka berdebat di Pulau Pinang.

Debat anjuran portal Agendadaily itu disiarkan secara langsung menerusi TV9 dan NTV7.

Serah pada rakyat

Bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Aziz Deraman bertindak bertanyasoalan bagi pihak Koh manakala Editor Politik media internet Malaysian Insider, Wan Hamidi Hamid bagi pihak Lim.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Dr Koh berkata pihaknya berpendapat adalah tidak baik untuk mempolitikkan isu-isu mengenai tanah demi kepentingan kerajaan negeri sekarang.

"Saya sebenarnya berhasrat baik di mana saya menasihatkan sebagai satu syarat untuk debat bahawa kita berdebat selepas pendengaran mahkamah selesai tapi beliau (Lim) tidak mahu dengar," katanya.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai isu tersebut selepas menyaksikan debat berkenaan.

Sumber: Malaysiakini

No comments: