BUKIT MERTAJAM: Lebih 1,000 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang akan bertugas sepanjang tempoh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh bagi memastikan pilihan raya itu berjalan lancar dan selamat.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, daripada jumlah itu, 700 orang merupakan pegawai dan anggota yang bertugas di Daerah Seberang Perai Tengah manakala bakinya anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Mereka akan bertugas di lapangan mulai hari penamaan calon pada 16 Ogos sehingga ke hari pengundian, 26 Ogos, katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat persiapan polis sempena pilihan raya kecil Permatang Pauh daripada Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Dr Mohd Shah Hussin Shah di sini.
Turut hadir pada taklimat itu ialah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob.
Ismail berkata, jumlah petugas itu akan ditambah dari semasa ke semasa jika terdapat keperluan berbuat demikian.
"Jika tambahan anggota diperlukan, kita akan meminta bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) lain seperti Perak atau Kedah," katanya.
Ismail turut mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen pilihan raya kecil itu mematuhi peraturan dan undang-undang bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya itu.
"Kita nasihat semua pihak patuh undang-undang. Jika patuh tidak akan timbul masalah dan kita meminta supaya calon dan individu yang terlibat tidak mencetuskan ketegangan dan pergaduhan sebaliknya mengekalkan suasana harmoni bagi melicinkan proses pilihan raya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail sekali lagi menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog hari ini kononnya Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Mana ada beliau ditahan. Berkenaan beliau dilaporkan hilang pun kita tidak tahu kerana kita tidak ada menerima laporan polis mengenai kehilangannya," katanya.
Blog berkenaan mendakwa Zulkifli, 46, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan di Kulim kira-kira pukul 10 malam tadi dan beliau dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah.
Zulkifli pernah ditahan mengikut ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Sept 1998.
BERNAMA
Sumber: mSTAR
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment