Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, August 12, 2008

Perak laksana tender terbuka untuk lulus hak milik tanah

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan sistem tender terbuka bagi kelulusan permohonan pemilikan tanah kerajaan yang mempunyai nilai tinggi, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri telah mengenal pasti sembilan lokasi tanah di daerah Kinta yang akan diberi hak milik secara tender terbuka dan penilaian terhadap tanah itu akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem).

"Apabila kita telah mendapat harga rizab maka kita akan laksanakan proses bidaan. Sesiapa yang layak dan mahukan tanah itu dia perlu memberi harga yang lebih tinggi daripada harga rizab," katanya kepada pemberita selepas melawat Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Kinta di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri bersedia menjual tanah kosong yang terdiri daripada pelbagai keluasan itu kepada individu, koperasi, atau syarikat untuk dibangunkan bagi tujuan perumahan, pertanian dan industri dan keutamaan diberikan kepada anak Perak.

Katanya penilaian terhadap tanah berkenaan mengikut harga pasaran semasa dan pembida perlu membayar 25 peratus daripada harga rizab tanah berkenaan sebaik diluluskan.

Beliau berkata tender bagi tanah terbabit akan diiklankan sebaik sahaja Jabatan Penilaian dan Jupem selesai menilai harganya dan menurutnya pelaksanaan tender terbuka itu secara langsung akan menambah hasil kerajaan negeri serta meningkatkan ketelusan dalam proses pentadbiran.

Sementara itu, beliau menafikan yang kerajaan negeri akan memberi hak milik tanah kekal selama 999 tahun kepada penduduk kampung tradisional, kampung baru dan kampung adat Orang Asli.

Mohammad Nizar berkata apa yang dimaksudkan ialah kerajaan negeri hanya bercadang mahu memberikan hak milik itu mengikut empat kategori iaitu hak milik 30, 60 dan 99 tahun dan pegangan bebas sahaja.

"Dalam mesyuarat Exco akan datang kita akan putuskan harga premium hak milik itu sahaja. Hak milik untuk 999 tahun itu tidak ada sebenarnya, yang kerajaan negeri hendak berikan adalah empat kategori sahaja iaitu hak milik untuk 30, 60, 99 tahun dan pegangan bebas," katanya.

Katanya pemberian status hak milik kekal 999 tahun hanya diberikan sebelum merdeka dan tiada lagi pemberian itu pada masa sekarang.

Cadangan untuk memberi status hak milik selama 999 tahun diumumkan oleh Mohammad Nizar ketika menggulung usul pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini, bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan daripada banyak pihak. BERNAMA

Sumber: mSTAR

No comments: