Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Saturday, October 4, 2008

Guan Eng harap Islam jadi teras rapatkan silaturrahim

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.

"Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial.

"Ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama.

"Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini," kata Setiausaha Agung DAP itu dalam perutusan Eidulfitrinya.

Beliau percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri.

"Melalui kitab suci Al-Quran ada disebut mengenai Amar Ma?ruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan. Ia merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam itu sendiri.

"Saya yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua," kata beliau.

Bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia.

Aspek kepelbagaian tersebut harus menjadi kekuatan rakyat Malaysia untuk berganding bahu serta saling percaya antara satu sama lain, kata beliau.

"Tuhan tidak membezakan kita di antara warna kulit ataupun fahaman politik malah kepercayaan agama terjamin di kalangan semua agama, termasuk Islam.

"Oleh itu adalah tidak betul dan tidak patut insan dalam parti politik tertentu cuba memecah belahkan rakyat dan menggugat perpaduan nasional dengan menggunakan isu perkauman, menabur fitnah dan menggalakkan penggunaan kekerasan.

"Namun kumpulan ekstremis ini cuba menggunakan isu bahasa sungguhpun semua bahasa di dunia baik Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil, Hindi, Urdu, Thai dicipta oleh Tuhan," kata Guan Eng.

Beliau mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.

Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.

"Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya.

Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza.

"Jangan jadikan kepelbagaian kaum dan agama sebagai alasan untuk bertindak ganas atau menuju ke arah jenayah. Yang penting, tali silaturahim antara kita harus diikat erat.

"Jangan kita biar pihak tertentu mengadu domba persahabatan kita sesama kaum semata-mata kepentingan politik perkauman sempit mereka.

"Semoga hari lebaran ini disambut dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan kegembiraan. Amar Ma?ruf Nahi Mungkar . Maaf zahir batin," kata beliau mengakhiri perutusannya._


Sumber: HarakahDaily

No comments: