Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, April 30, 2009

PEWARIS sahut cabaran GMI debat 'halal-haram ISA' - Malaysiakini

Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS), penyokong kuat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyahut cabaran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk berdebat tentang halal-haram akta kontroversi tersebut.

Bagaimanapun NGO Melayu itu mencadangkan perbahasan berkenaan diadakan secara langsung di sebuah stesen radio, bukannya di dewan orang ramai seperti saranan NGO penentang ISA itu.

Keputusan PEWARIS dicapai dalam satu mesyuarat jawatankuasanya semalam, kata timbalan presidennya Rahimuddin Md Harun kepada Malaysiakini hari ini.

PEWARIS juga mencadangkan format pertemuan itu berlangsung sebagai "perbincangan" dan bukannya "perdebatan" yang mengutamakan kalah-menang pembicaranya.

"Tukar (debat) kepada perbincangan. Kita nak perbincangan, bukannya populariti," kata Rahimuddin.

"(Perbincangan) ia lebih kepada menghuraikan kekusutan pemahaman, apa yang kita faham (tentang akta tersebut) dan apa yang GMI faham."

"Kita bukan nak cari kemenangan," tambahnya.

Isnin lalu, GMI mencabar PEWARIS untuk berdebat mengenai sejauh mana Islamik atau tidak akta tersebut pada 9 Mei dengan cadangan tajuk 'Debat ISA: Haram atau Halal?' yang dijadualkan di Auditorium Dewan Sivik MPPJ mulai jam 3 petang.

Katanya, PEWARIS dicabar untuk mempertahankan ISA ekoran dakwaannya bahawa akta kontroversi itu "diperlukan untuk mempertahankan Islam".

PEWARIS menyifatkan diri sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan Islam di negara ini dan berkecuali dari mana-mana fahaman politik.

Ditanya mengenai perbincangan tersebut dalam siaran Radio 24, milik agensi berita Bernama, bukannya di tempat yang telah dicadangkan GMI, Rahimuddin berkata, perbincangan melalui radio "lebih sesuai" untuk membolehkan rakyat mengetahui dengan lebih jelas.

"Biar (rakyat) satu Malaysia boleh dengar," katanya.

Ditanya mengenai tajuk yang dicadangkan oleh GMI, beliau berkata, pihaknya menerima tajuk tersebut.

Ditanya mengenai tarikh dan masa yang telah ditetapkan, beliau berkata, ia terpulang kepada persetujuan stesen radio yang telah dimaklumkan oleh PEWARIS semalam.

"Saya berharap, agar GMI dapat menerima perubahan ini," katanya.

Malaysiakini

No comments: