Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, April 14, 2009

Zainol Abidin muncul di majlis PKR - Malaysiakini

Seorang pemimpin Umno di Pulau Pinang - Zainol Abidin Hashim - yang bertindak mengoyak poster Presiden Gerakan sewaktu tercetusnya kontroversi membabitkan Ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail tahun lalu - dilihat menghadiri majlis anjuran PKR semalam.

Berikutan itu, tercetus spekulasi mengenai kemungkinan Zainol, yang juga timbalan pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Pulau Pinang 'menyeberang' menyertai PKR.

Gambar bekas ahli badan perhubungan Umno Pulau Pinang itu sewaktu menghadiri majlis tersebut disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina - Sin Chew Daily hari ini.

Akhbar itu menyiarkan gambar Zainol yang dilihat bertegur sapa dan berbual-bual dengan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manakala di bahagian bawah berita tersebut, disiarkan juga gambar Zainol mengoyak poster Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sewaktu tercetus kontroversi tersebut.

Zainol merupakan penyokong kuat Ahmad yang digantung keahlian tiga tahun dan digugurkan hak-haknya dalam parti oleh Majlis Tertinggi Umno, selepas membuat kenyataan bahawa kaum Cina 'menumpang' di negara ini, sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Zainol menyifatkan spekulasi terhadapnya sebagai "tidak benar".

"(Program) di mana-mana pun saya masuk. Semua jenis saya masuk. Saya hendak tahu perkembangan.

'Ajak-ajak ayam'

"Kita orang politik tidak boleh duduk sebelah (parti) sahaja kalau hendak tahu secara tepat," katanya, sambil menambah "semua orang" tahu sikapnya itu.

Zainol berkata beliau menghadiri majlis PKR semalam dan bertegur sapa dengan pemimpin utama Pakatan Rakyat, khususnya Anwar, kerana memang saling kenal-mengenali.

Malah, tambah beliau, Awar sempat bertanya kepadanya: "Non (Zainol), hang bila nak masuk (PKR), dok tunggu apa lagi?"

Bagaimanapun, menurut Zainol, mereka berdua faham pendirian masing-masing dan tahu bahawa pelawaan itu merupakan "ajak-ajak ayam" sahaja.

Ditanya mengenai hubungan semasa Umno dan Gerakan yang kurang memuaskan di negeri itu, Zainol berkata: "Tak boleh pi (serasi), jangan bohonglah. Dia (Gerakan) belum minta maaf (pada Umno)."

Sementara Setiausaha PKR Pulau Pinang, Mustafa Kamal Mohd Yusoff ketika dihubungi, juga menafikan spekulasi Zainol mungkin menyertai PKR.

"Beliau memang macam itu. Semua program (parti) beliau pergi. Kalau beliau masuk (PKR), mesti saya tahu dulu," katanya yang juga teman rapat Zainol.

Selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos tahun lalu, tercetus juga kontroversi bahawa Arif Shah Omar Shah - yang tewas di tangan Anwar - akan menyertai PKR, tetapi beliau menafikannya.


Malaysiakini

No comments: