Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, April 24, 2009

Rais: Ada komplot mahu jatuhkan Najib - Malaysiakini

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tohmahan yang dikeluarkan oleh media asing terhadap kepimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tujuan tertentu untuk menjatuhkan beliau atau satu "grand design".

Katanya, perbuatan media itu bukan satu perkara baru kerana mereka pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui kepimpinan negara.

"Media asing itu akan menggunakan pelbagai istilah mengaitkan pelbagai kelakuan (perdana menteri) yang kononnya tidak boleh diterima (oleh pihak tertentu)," katanya selepas menghadiri majlis bacaan yasin dan tahlil untuk bekas timbalan perdana menteri Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit, Melaka malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia sempena memperingati ulang tahun pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada 23 April 2006, lapor Bernama.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Rais diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa terdapat usaha media asing yang bersatu dan berterusan menggambarkan impak negatif terhadap Najib sebagai perdana menteri baru Malaysia.

Cabar Zahid berdebat

Menurut Rais, Najib telah dikaitkan dengan isu "undang-undang" kononnya boleh mencemarkan nama baik beliau oleh beberapa pihak termasuk pemimpin PKR.

"Sedangkan dakwaan itu hanya kosong semata-mata oleh media sama ada di Eropah atau di Amerika Syarikat," katanya yang percaya dakwaan terhadap Najib itu akan berakhir begitu sahaja.

"Bagaimanapun, kami akan meneliti (keadaan) dan sekiranya berpeluang saya sendiri ingin berdebat dengan pihak-pihak yang cuba 'mengenakan' pemimpin kita dengan perkataan tak senonoh atau tidak diterima akal pada masa ini," katanya.

Mengenai Datuk Zaid Ibrahim (foto) yang sering dipetik oleh media asing untuk memburukkan Najib, Rais berkata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memiliki peribadi yang mempunyai beberapa sifat "si lunchai" kerana Zaid tidak mengenal sifat kebijaksanaan atau faedah mengutuk pemimpin sendiri.

"Kita akan lihat setakat mana hebatnya beliau (Zaid) menggunakan istilah-istilah itu terhadap perdana menteri," katanya.

Rais mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai jika beliau yakin dakwaan terhadap Najib itu benar.

Malaysiakini

No comments: