Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, April 16, 2009

Terkini: Fairus letak jawatan ADUN Penanti - Malaysiakini

Bekas timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keputusannya meletak jawatan ADUN Penanti, berkuatkuasa hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat siswazah lanjutan.

Ia juga, katanya, untuk memberi masa kepadanya untuk bersama-sama dengan keluarga "yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya".

Kenyataan Fairus itu dikeluarkan oleh Biro Penerangan PKR.

"Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini," tambahnya.

Fairus yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung satu projek kuari di Pulau Pinang, meletakkan jawatan timbalan ketua menteri pada 8 April lalu.

Berikutan peletakan jawatannya itu, pilihanraya kecil perlu diadakan bagi kerus tersebut dalam tempoh 60 hari.

DUN Penanti terletak dalam kawasan parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikut adalah kenyataan penuh Fairus:

Setelah memberikan pertimbangan dengan sewajarnya, mengambilkira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang saya wakili, saya dengan ini mengambil keputusan demi memelihara kepentingan Parti Keadilan Rakyat untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkuatkuasa hari ini 16hb April 2009.

Keputusan ini bertujuan untuk membolehkan saya memberikan tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepada saya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya.

Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini.

Khususnya kepada pengundi dan rakyat Penanti yang saya wakili, saya ingin merakamkan jutaan penghargaan di atas kasih sayang dan sokongan yang diberikan selama saya memegang amanah selaku wakil rakyat Penanti.

Keputusan ini adalah untuk kebaikan semua, Parti Keadilan Rakyat dan perjuangan serta kepimpinan di bawah teraju Dato' Seri Anwar Ibrahim (selaku Penasihat Parti) demi menegakkan kebenaran dan keadilan.


Malaysiakini


No comments: