Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, April 20, 2009

Anwar: Beri Pakatan Rakyat kemenangan percuma di Penanti - Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 18 April (SK) : Beri Pakatan Rakyat kemenangan percuma. Tindakan ini bukan sahaja dapat menjimatkan dana pembayar cukai, masa dan juga tenaga tetapi ia adalah selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak.

Kata Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim dalam ceramah beliau di Penanti semalam.

“Kita akan akur dengan kenyataan Perdana Menteri supaya jangan membazir dana awam. Oleh itu saya menyeru pimpinan BN dan Umno supaya tidak meletakkan calon mereka dalam pilihanraya kecil Penanti,” jelas Anwar.

Ini menguji kata-kata Najib mengulas perletakan jawatan Adun Penanti Mohammad Fairuz Khairuddin Khamis lalu dan ini membuka jalan pilihanraya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari.

Anwar mencabar Najib supaya jangan meletakkan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Penanti yang bakal diadakan dalam tempoh 60 hari itu.

Ekoran Najib semalam menyatakan bahawa pilihanraya kecil hanya permainan politik Pakatan Rakyat yang membazirkan dana awam. Beliau menyeru rakyat menolak taktik politik sedemikian.

Beliau berkata, kenyataan Najib itu sebenarnya adalah bertentangan dengan tindakannya yang mengatur konspirasi politik di Perak apabila dilantik menjadi Ketua Perhubungan Umno dan BN untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu

Pilihanraya kecil di Penanti adalah yang keenam sejak pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Dalam ucapannya Anwar menyifatkan peletakan jawatan Fairus sebagai ”tepat dan betul” kerana beliau kini dibelit penyiasatan Suruhanjaya anti-rasuah Malaysia (SPRM).

”Fairus mungkin tidak didakwa tetapi kepentingan rakyat dan parti mesti didahulukan. Saya menghormati keputusannya meletak jawatan tetapi parti akan memelihara dan melindungi kepentingannya. Kita akan menyediakan bantuan guaman untuknya,” kata Anwar.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijangka mengumumkan pada 24 April bila pilihanraya kecil akan diadakan jika disahkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kawasan Penanti berlaku.

Komen Najib mengenai isu Penanti ini agak menyimpang daripada kenyataan Timbalannya, Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa Umno dan BN sudah bersedia menggerakkan jentera pilihanraya bagi merampas kerusi tersebut.

Bagaimanapun akhbar tempatan hari ini segera menyiarkan statistik Polis Diraja Malaysia dan juga SPR untuk membuktikan bahawa kos lima pilihanraya kecil yang dikendalikan sejak pilihanraya umum tahun lalu adalah besar.

SPR dilaporkan membelanjakan RM2.4 juta untuk mengendalikan pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh (RM 409,000); Kuala Terengganu (RM 580,000); Bukit Gantang (600,000), dan untuk dua kerusi dewan undangan negeri Batang Ai (RM400,000) dan Bukit Selambau (RM400,000).

Sementara polis pula berbelanja sejumlah RM31 juta untuk mengawal kententeraman dan keselamatan awam bagi kelima-lima pilihanraya kecil berkenaan.


SK

No comments: