Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, April 20, 2009

Penanti: BN mungkin tak bertanding - Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyertai pilihanraya kecil DUN Penanti, Pulau Pinang.

Pengerusi BN itu berkata BN perlu melihat terlebih dahulu sama ada pilihanraya kecil itu menguntungkan rakyat atau sebaliknya.

"Tak tahu lagi (sertai atau tidak) kita tengok dulu tapi saya tak ketepikan apa juga kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis `Sambutan Meraikan Perdana Menteri' peringkat Parlimen Pekan hari ini sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lepas, lapor Bernama.

Sehubungan itu, Najib yang juga presiden Umno berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bertemu dengan presiden-presiden parti komponen BN bagi membincangkan perkara itu.

"Saya akan bawa perkara ini kepada mesyuarat MT akan datang, kalau tak sempat saya akan bawa kepada Biro Politik, dan juga bincang dengan presiden-presiden parti komponen BN," katanya.

Pilihanraya kecil DUN Penanti bakal diadakan berikutan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR mengosongkan kerusi DUN itu berkuatkuasa dua hari lepas.

Najib berkata BN akan sepakat berhubung pilihanraya kecil itu.

"Sebab kita perlu buat kata sepakat, dalam hal ini jelas sekali ini satu mainan politik mereka (pembangkang), dengan tujuan mereka itu kita dapat mengesannya.

"Ini bukan sebab peruntukan Perlembagaan Negara, kalau disebabkan perlembagaan negara, kita tetap hormati," katanya.

Khamis lepas, Mohammad Fairus mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN Penanti.

Mohammad Fairus, 32, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata langkah beliau itu adalah bagi membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

Malaysiakini

Dr M: BN tidak patut mengaku kalah di Penanti

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mengaku kalah dan perlu meletakkan calon dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang.

"Saya fikir kalau kawasan itu kawasan Umno, kita tentu bertanding, ini pasal kita ingat ini kawasan parti lawan, kita tak nak bertanding.

"Jadi kalau kita nak tunggu kawasan Umno, nanti tidak ada kawasan Umno, kita tak bertandinglah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum Arah Tuju Melayu Muda anjuran Pemuda Umno Raub hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihanraya kecil DUN Penanti atau sebaliknya, lapor Bernama.

Kerusi itu kosong selepas bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti Khamis lalu.

Sebelum itu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, BN tidak pernah takut untuk meletakkan calon di mana-mana kawasan termasuk kubu kuat PAS di Kelantan.

Katanya, Umno perlu bertanding, jika tidak ia akan mengecewakan ahli dan penyokong BN di kawasan tersebut selain mencemar semangat dan maruah pejuang parti terdahulu.

Jambatan bengkok

"Apabila kita tidak bertanding ini akan menunjukkan kemerosotan Umno di mana-mana kawasan yang ada pilihanraya," katanya.

Dr Mahathir juga berkata ahli Umno dan BN perlu terus membuat teguran jika terdapat kesalahan yang dilakukan pemimpin parti.

"Kita perlu bersikap kritis secara baik dan tidak hanya setia kepada pemimpin walaupun mereka jelas melakukan kesilapan."

Selain itu, beliau turut mengingatkan pemimpin Umno terutama generasi muda supaya tidak mencari jalan mudah untuk memperoleh kedudukan dan kuasa termasuk melalui amalan rasuah yang akhirnya akan membinasakan parti.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada projek jambatan bengkok menyeberangi Selat Johor perlu disambung semula pembinaannya, Dr Mahathir berkata pembinaannya tidak sepatutnya dihentikan langsung.

"Bohong kalau kata rakyat Johor tidak mahu jambatan ini dibina," katanya.

Baru-baru ini terdapat banyak gesaan terutama daripada kalangan ahli politik dan perniagaan dari Johor, supaya kerajaan menimbangkan semula keputusan yang dibuat pada 2006 untuk membatalkan projek jambatan bengkok itu.

Malaysiakini

No comments: