Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, October 8, 2008

Gaji tekstil, elektronik diselaras

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia akan memberikan tumpuan khusus kepada penyelarasan semula gaji minimum sektor tekstil dan elektronik yang rendah bagi mengelak jurang ketara dengan gaji pekerja sektor lain.

Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kementerian sudah mewujudkan Majlis Penetapan Gaji Kebangsaan untuk bidang tekstil dan elektronik dan berharap pekerja terbabit menerima gaji setimpal menerusi mekanisme tertentu.

"Kami kaji dua kategori itu kerana mendapati pekerja di kedua-dua bidang berkenaan menerima gaji rendah," katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di kementeriannya di sini, semalam.

Memorandum yang antara lain menuntut pembayaran gaji minimum RM900 serta elaun kos sara hidup RM300 dan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja disampaikan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud.

Pada masa ini dianggarkan 1.67 juta pekerja di negara ini menerima gaji kurang RM700.

Subramaniam berkata, Majlis Penetapan Gaji Kebangsaan akan mengadakan sesi temu bual bersama pekerja dan majikan kedua-dua bidang berkenaan di seluruh negara dan proses itu dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan.

Sementara itu, Syed Shahir berkata, MTUC tetap dengan pendirian supaya permintaan gaji minimum RM900 dilaksanakan.

Katanya, apabila kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja awam, ia memperlihatkan perubahan positif dan berharap manfaat sama sampai kepada pekerja swasta yang jauh lebih besar bilangannya.

“Kita harap ada perubahan lebih positif mengenai gaji minimum, elaun kos sara hidup RM300 dan jaminan pekerjaan," katanya.

Sumber:
BH

No comments: